Hanya Kerana RM61, Nenek Dipukul Kepala Ke Dinding Sehingga Tulang Tengkorak Warga Emas Itu Retak

PEKANBARU: Hanya kerana menuntut hutang 200,000 rupiah (RM61), seorang nenek di Riau, Indonesia maut di tangan suami isteri yang berhutang dengannya.

Memetik laporan Kompas susulan kejadian, pasangan terbabit yang juga jiran mangsa di Desa Petala Bumi di daerah Indragiri Hulu ditahan pihak berkuasa.

Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Indragiri Hulu Misran mengesahkan kedua-dua suspek berusia 17 dan 19 tahun itu kini ditahan di Balai Polis Siberida.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, pasangan muda terbabit mengaku membunuh mangsa bernama Cicih yang menuntut hutang.

“Suspek mengaku bengang apabila mangsa menagih hutang mereka berjumlah 200,000 rupiah.

“Kita masih menyiasat cara suspek membunuh mangsa yang juga jirannya berikutan keterangan diberikan didapati berbeza dengan laporan bedah siasat,” katanya.

Misran berkata, laporan forensik menemui tengkorak mangsa pecah pada bahagian depan dan belakang.

“Namun suspek mengaku memukul kepala mangsa ke dinding menyebabkan tulang tengkorak warga emas itu retak.

“Kedua-dua suspek didakwa atas penganiayaan terhadap mangsa hingga terbunuh,” katanya.

Menurutnya, kematian Cicih dilaporkan penduduk setempat yang menemui mayatnya di rumah Rabu lalu jam 9.30 pagi waktu tempatan.

Siasatan awal pihak berkuasa di lokasi kejadian mendapati mangsa cedera dan lebam pada bahagian kiri dan kanan dahi selain telinga sebelah kiri berdarah.

Mangsa seterusnya dibawa ke hospital di Pematang Reba, Rengat untuk bedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat pukulan objek tumpul pada belakang kepalanya hingga menyebabkan patah tulang tengkorak dan berlaku pendarahan.