Harga Ikan Kembung, Cencaru Turun RM2.50 Sekilogram

SEKINCHAN – Harga ikan kembung dan cencaru turun mendadak sehingga RM2.50 sekilogram bergantung kepada saiz di Pasar Awam Sekinchan di sini sejak seminggu lalu.

Seorang peniaga, Heng Nok Koo, 55, berkata, harga ikan kembung misalnya hanya dijual antara RM2.50 sekilogram hingga RM4 sekilogram.

Menurutnya, perubahan monsun menyebabkan berlakunya lambakan ikan di pasar awam berkenaan.

“Saya jarang menjual ikan kembung dan cencaru pada harga jauh lebih murah kerana harga biasa mencecah sehingga RM12 sekilogram.

“Harga ikan yang jauh lebih murah ini dijangka berterusan sehingga minggu depan,” katanya kepada Sinar Harian.

Nok Koo berkata, dia yang memulakan operasi perniagaan dari jam 7.30 pagi hingga 7.30 malam mengakui hasil jualannya meningkat sekali ganda.

“Jika harga ikan murah saya mampu menjual lebih satu tan metrik ikan berbanding 500 kilogram ikan sehari jika harga ikan tinggi,” katanya.

Seorang pelanggan, Nurul Azlina Hamzah, 41, berkata, dia sanggup datang sejauh kira-kira 30 kilometer ke Sekinchan semata-mata ingin membeli ikan pada harga murah.

Nurul Azlina dari Kampung Teluk Penyamun Kuala Selangor berkata, dia turut menerima tempahan rakan yang mengirim wang membeli ikan terbabit dalam kuantiti banyak.

“Saya memang tak sangka harga ikan yang dijual empat atau lima kali ganda lebih murah berbanding harga kembung yang biasa dijual RM12 sekilogram dan ikan cencaru RM10 sekilogram,” katanya.

Seorang pelanggan, Abu Hasan Omar, 67, berkata, penurunan harga ikan itu mengurangkan beban pembeli yang berdepan kenaikan harga barangan keperluan lain.

“Setahu saya harga ini paling rendah sepanjang tahun ini dan ini secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan,” katanya.

Artikel Berkaitan   Dilahirkan Tanpa Rahim, Wanita Ini Bersyukur Dapat Juga Memiliki Anak Kandung Sendiri