Harga Telur Ayam Naik Mendadak, Jom Tambah Side Income Bela Ayam Penelur

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengesan kenaikan harga telur ayam turut berlaku di negeri ini pada kadar dua hingga 10 peratus sejak beberapa minggu lepas.

Pengarahnya Khalid Tik berkata ia hasil pemantauan yang dilakukan di seluruh pasar raya dan beberapa premis jualan yang mendapati harga semua gred telur meningkat antara 0.50 sen hingga RM1.

Harga tersebut masih pada kadar munasabah menyamai kenaikan di kebanyakan negeri di seluruh negara. Bagaimanapun kami akan terus tingkatkan pemantauan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga berlebihan kepada pembeli,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas berhubung trend perubahan purata harga telur ayam sejak pertengahan bulan lalu hingga awal bulan ini yang didapati mengalami kenaikan secara konsisten pada setiap minggu di pasaran runcit.

Katanya daripada maklum balas yang diperoleh kenaikan harga tersebut berlaku berikutan peniaga turut mendapatkan bekalan telur pada harga yang tinggi daripada pemborong.

“Kementerian telah mengeluarkan arahan supaya operasi pemeriksaan dilakukan di peringkat pengeluaran (ladang), pengedaran dan pemborong bagi mengesan punca peningkatan harga berlaku. Kita masih dalam proses mengumpul maklumat lanjut berhubung perkara itu,” katanya.

Sementara itu Khalid berkata bekalan telur di negeri ini yang kebanyakannya diperoleh dari Pulau Pinang masih mencukupi untuk menampung keperluan semasa dan berharap pembeli tidak melakukan pembelian panik.

Semalam, Menteri KPDNHEP Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan sebagai berkata akan menyiasat sama ada wujud aktiviti kartel menyebabkan harga telur meningkat secara konsisten pada setiap minggu sejak beberapa bulan lepas.

Saifuddin dipetik sebagai berkata antara alasan yang diberikan pihak pengeluar dan pemborong termasuk keadaan cuaca, perbezaan nilai ringgit, kos makanan ayam yang mahal dan peningkatan kos utiliti penternak ayam.

Beliau turut dilaporkan berkata KPDNHEP juga akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi memastikan tindakan efektif diambil bagi menangani kenaikan harga tersebut selain mengkaji cadangan menghadkan atau menghentikan pengeksportan telur ayam ke luar negara. – Bernama

(Visited 22 times, 1 visits today)