Hari Ni Ramai Yang Puasa Tapi Tak Solat. Padahal Tinggal Solat Ibarat Runtuhkan Tiang Agama, Apakah Status Islam Mereka?

Solat lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadhan adalah diantara lima rukun Islam yang wajib dilakukan oleh semua umat Islam. Walau bagaimanapun, ada juga di kalangan kita yang hanya puasa tapi tak solat dan pasti ramai yang masih lagi tidak tahu apakah hukum berpuasa tapi tak sembahyang.


Rasulullah SAW bersabda;

“Islam didirikan di atas lima sendi iaitu syahadat tiada sembahan yang haq selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah; mendirikan solat; menunaikan zakat; berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji.” (Hadis Muttafaq Alaih)

Umat Islam berbuka puasa beramai-ramai di perkarangan masjid.

Kewajipan umat Islam untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan berdasarkan dengan firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al Baqarah : 183)

Manakala untuk kewajipan menunaikan solat pula seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran yang diwajibkan kepada semua umat Islam harus mendirikannya sebanyak lima waktu setiap hari mengikut syariat Islam dan tidak hanya dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja.

Apakah Hukum Puasa Tapi Tak Solat

Inilah persoalan yang pasti menjadi tanda tanya oleh mereka yang tidak tahu bagaimana dan apakah hukum sekiranya seseorang Islam itu menunaikan puasatetapi tidak sembahyang walaupun berpuasa sebulan.

Bagi menjawab kemusykilan ini kerana disebabkan masih lagi ada umat Islam yang tidak sembahyang tetapi berpuasa, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad A;-Bakri telah berkongsi pendapatnya melalui laman Pejabat Mufti WP.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Untuk menjawab soalan ini, sebagai muqaddimah saya nukilkan pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi melalui kitabnya, Fatawa Muasirah:

“Orang Islam dituntut melakukan semua ibadat, iaitu mendirikan sembahyang, membayar zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji jika berkemampuan. Sesiapa yang meninggalkan salah satu ibadat ini tanpa keuzuran, dia telah melampaui batas terhadap Allah.”

Ulama Islam telah mengeluarkan berbagai-bagai pendapat, sesetengahnya berpendapat kufur jika meninggalkan salah satu ibadat ini. Ada pula yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dan enggan membayar zakat. Sebahagian berpendapat yang lain pula hanya orang yang meninggalkan sembahyang sahaja menjadi kufur kerana kedudukan sembahyang yang tinggi di dalam Islam.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan:

“Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan sembahyang.”

Ulama yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, dengan sendirinya berpendapat bahawa puasa orang itu juga tidak diterima kerana orang kafir itu sendiri amalannya tidak diterima.

Sesetengah ulama masih lagi mengiktiraf keimanan dan keislamannya selama mana orang itu masih mempercayai kebenaran Allah dan Rasul-Nya serta tidak membangkang atau mencela apa yang dibawa Rasulullah SAW. Mereka menyifatkan orang seperti ini sebagai fasik.

Mudah-mudahan pendapat ini lebih benar dan adil. Jika dia mengurangkan sebahagian daripada ibadatnya yang wajib kerana malas atau mengikut hawa nafsu, tanpa mengingkari atau mempermain-mainkannya dan dia juga melakukan ibadat-ibadat yang lain, dia dikira Muslim yang tidak sempurna, imannya lemah dan dan jika berterusan meninggalkannya, Allah tidak mensia-siakan amalan kebaikannya.

Setiap daripada kita diwajibkan menunaikan solat lima waktu setiap hari.

Pahala terhadap apa yang telah dilakukannya tetap ada, sebaliknya dia berdosa di atas ketelanjurannya.

Allah SWT berfirman:

وَكُلُّ صَغِيرٍ وَكَبِيرٍ مُّسْتَطَرٌ

Maksudnya: “Dan segala urusan yang kecil mahupun yang besar adalah tertulis.”

(Surah al-Qamar: 53)

Firman-Nya lagi:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿۷﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرَّا يَرَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat pembalasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan menerima balasannya pula.”

(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Puasa Tapi Tak Solat?

Dalam hal ini saya cuba merumuskan pendapat ulama berkenaan dengan orang yang puasa tapi tak solat, antaranya:

Pendapat pertama: Mereka dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasa mereka. Hendaklah mereka bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Inilah pendapat mazhab Hambali dan sebahagian ulama masa kini.

Pendapat kedua: Mereka yang tidak solat tetapi berpuasa dianggap puasa mereka sah tetapi tidak diberi pahala. Inilah pendapat kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr. Ahmad Syarbashi, Dr. Muhemmed al-Bakri Ismail dan lain-lain.

Hal ini kerana Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya:

“Siapa yang meninggalkan ucapan yang keji dan beramal dengannya, maka tiada keperluan bagi Allah dengan sebab dia meninggalkan makan dan minumnya.”
Riwayat Bukhari & Muslim

Kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan puasa sah tetapi tidak dipahalakan kerana menafikan rukun Islam yang sangat penting iaitu solat.

Inilah sebahagian daripada Ahkam al-Siyam yang ingin dibentangkan kepada masyarakat Islam agar difahami dengan jelas untuk menjadikan puasa benar-benar menepati syariat.

Puasa Tetapi Tidak Sembahyang dari Ustaz Azhar Idrus

Semoga perkongsian Mufti Wilayah Persekutuan ini tentang hukum puasa tapi tak solat akan menambahkan lagi pengetahuan kita semua untuk beramal dengan lebih baik mengikut hukum dan syariat Islam. Semoga bermanfaat.