Hawa Rizwana Akui Zizan Razak Sering Teman Kayuh Basikal

Mengakui pelawak dan pelakon Zizan Razak merupakan kawan lelaki dalam industri yang sering menemaninya beriadah, namun personaliti TV, Hawa Rizwana berkata hubungannya bersama Zizan hanyalah sekadar kenalan rapat.

Hawa berkata hubungan persahabatannya dengan Zizan menjadi lebih erat sejak melakukan aktiviti berbasikal bersama-sama. Ujarnya sebelum ini kebetulan bertemu apabila ada acara bersama, tetapi kini lebih kerap kerana dalam kumpulan berbasikal yang sama.

“Saya dan Zizan hanya kawan dan kenalan rapat. Kalau dulu selalu berjumpa apabila kebetulan ada acara bersama. Tapi sekarang kerap sikit sebab kami berada dalam kelompok kumpulan berbasikal yang sama.

“Kebetulan pula instruktor kami pun kayuh sekali jadi ia secara tidak langsung menggabungkan macam-macam pasukan berbasikal serentak, semua dah macam keluarga besar,” katanya kepada Astro Gempak.

Tidak mahu berlaku salah faham mengenai hubungannya dengan Zizan, Hawa menegaskan dirinya masih belum berpunya malah belum terfikir lagi untuk mencari pasangan hidup.

“Saya baru berusia 25 tahun dan perjalanan karier saya masih jauh. Jadi fokus saya untuk keluarga terlebih dahulu sampai betul-betul stabil,” katanya.

Sebelum ini, tindakan Hawa dan Zizan dilihat sering berbalas komen di akaun masing-masing menjadi perhatian netizen. Malah, kedua-duanya juga kini lebih sering dilihat bersama terutama ketika hujung minggu.

Artikel Berkaitan   'Rasa ada benda di kaki, pastu dia terus jatuh longlai' - Kaki budak dipatuk ular