“Hidup Tiada Agama, Kurang Dari 24 Jam Lelaki Ini Mengucap Syahadah Dan Meninggal Dunia, Adik Saksikan Wajah Arwah Tenang”

“TIGA kali saya suarakan supaya dia berdoa kepada tuhan minta kurangkan kesakitannya sepanjang kira-kira tiga minggu dia tinggal di Subang Jaya, memandangkan dia seorang free thinker, dia hanya diam.

“Akhirnya, kira-kira 9 pagi Selasa lalu ketika saya bangkitkan hal sama, dia minta penjaganya, Nurin, untuk ajar dia mengucap dua kalimah syahadah,” kata Suzie Tan, 59.

Suzie adalah adik kepada Tan Foo Hock, 66, yang tular di media sosial beberapa hari kebelakangan ini selepas dikatakan memeluk Islam sebelum meninggal dunia kurang 24 jam kemudian.

Foo Hock dipercayai menggunakan Mohammad Ridzuan Tan Abdullah sebagai nama Islamnya meninggal dunia akibat kanser di kediaman Suzie di Subang Jaya, Selangor, 27 Mei lalu.

Menurut Suzie, meskipun berlainan agama, dia dan adik-beradik lain tiada masalah dengan keputusan abangnya untuk memilih Islam sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Malah, Suzie sebaliknya mengakui lega melihat riak wajah abangnya berbeza, malah kelihatan lebih tenang sebaik selesai melafazkan kalimah itu.

“Amat menakjubkan selepas mengucap, arwah kelihatan sangat tenang dan kemudian menghabiskan masa berbual dan bergelak ketawa bersama anak dan menantunya sepanjang hari.

“Menjelang malam, anak dan menantu arwah pulang ke rumah mereka dan pada waktu Subuh, saya dapati abang saya sudah tiada. Dia meninggal dalam tidur,” demikian kata Suzie kepada Harian Metro, hari ini.

JENAZAH Tan Foo Hock diuruskan sendiri ahli keluarganya yang bukan beragama Islam. FOTO Ihsan Mohammed Khairi Tan Abdullah dan Datuk Zulkarnain Mustapa

Sementara itu, adik bongsu arwah, Mohammed Khairi Tan Abdullah, 54, berkata, keputusan abangnya untuk memeluk Islam agak mengejutkan memandangkan Foo Hock dikatakan tidak menunjukkan minat selama ini.

Namun, Mohammed Khairi juga tidak menafikan abangnya sering dipanggil dengan pelbagai nama Melayu seperti Ridzuan dan Azlan oleh rakannya memandangkan Foo Hock banyak bergaul dengan masyarakat Melayu.

“Jika diikutkan minat, mungkin saya lebih minat untuk memeluk Islam apabila saya sendiri pernah dipuji oleh ustazah kerana boleh menulis jawi dan membaca ayat suci al-Quran dengan baik walaupun saya orang Cina.

“Manakala, arwah, selain banyak bergaul dengan masyarakat Melayu, dia memang fasih berbahasa Melayu, malah fizikalnya juga bermisai menampakkan seperti orang Melayu, namun tiada tanda-tanda dia ingin memeluk Islam.

“Cuma pernahlah ketika umur saya sekitar 12 tahun, saya terjumpa buku Fardu Ain yang mengajar cara solat dan sebagainya di dalam laci arwah.

“Ketika itu arwah berusia 24 tahun dan saya pun tidak mengesyaki apa-apa ketika saya masih kecil, sekadar selongkar barang abang-abang dan saya tidak tanya atau mengadu kepada sesiapa mengenai perkara itu,” katanya.

Mohammed Khairi berkata, memeluk Islam bukanlah asing dalam keluarga mereka memandang dia dan kakaknya yang menetap di Singapura sudah sekian lama menganut agama itu.

“Daripada 14 beradik seibu sebapa, saya dan kakak saya di Singapura sudah pun memeluk Islam sejak zaman muda lagi yang mana kakak saya kini juga seorang ustazah di sana.

“Jadi, perkara ini bukanlah asing. Kakak saya (Suzie) pun beritahu saya dalam keadaan bersahaja, ‘Khairi, abang kau (Foo Hock) dah masuk Islam’ sebaik arwah selesai lafaz dua kalimah syahadah.

“Kakak saya kata, arwah cakap ‘aku nak masuk Islam, aku nak mati dalam Islam’ sambil suruh Nurin ajar dia mengucap tapi Nurin teragak-agak kerana bimbang dengan respons orang lain, namun dia lakukan juga apabila semua ahli keluarga tidak membantah.

“Ketika itu saya sangat bersyukur dan apabila dia meninggal dunia keesokannya, saya hanya mendoakan yang terbaik untuk dia. Dapat memandikan mayatnya memberikan saya pengalaman indah terakhir bersamanya,” katanya.

kredit harian metro