Hisap Vape Dalam Parlimen Semasa Live, Hishammuddin Selesai Bayar Kompaun Rm250

KUALA LUMPUR : Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan Dewan Rakyat bahawa beliau sudah membayar denda kerana menghisap vape ketika persidangan Parlimen, minggu lalu.

Katanya, beliau juga telah melunaskan kompaun RM250 yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan itu.

“Sebagai mana saya maklum sebelum ini, perbuatan salah tetap merupakan perbuatan salah. Saya sudah mengaku salah dan meminta maaf kepada semua pihak,” katanya ketika menjawab isu itu yang dibangkitkan oleh Wong Shu Qi (PH-Klang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hishammudin menjawab pencelahan Shu Qi sewaktu ucapan perbahasan Titah Diraja oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Shu Qi menegaskan, tujuan beliau membangkitkan perkara itu pada minggu lalu di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 41 (d) yang menjelaskan bahawa seorang ahli Parlimen tidak dibenarkan merokok di dalam Dewan Rakyat sewaktu persidangan berlangsung.

Berikutan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon berkata, beliau mengambil maklum permohonan maaf Ahli Parlimen Sembrong itu dan meminta Mohd Redzuan untuk meneruskan perbahasan.

Bermula Januari lalu, mereka yang didapati bersalah merokok di kawasan terlarang, termasuk tempat makan, akan dikenakan kompaun RM250.

Bagi mereka yang gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan, mereka boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.

Sebelum ini, seorang netizen yang dikenali sebagai Mhd Shamin berkongsi klip video selama sembilan saat di Twitter menunjukkan Hishamuddin menghisap vape sambil memakai pelitup muka semasa persidangan sedang berlangsung

Pagi ini sebelum persidangan bermula, bahagian informasi Parlimen menerusi pembesar suara mengingatkan semua individu yang berada di bangunan ini supaya tidak menghisap rokok.

Artikel Berkaitan   “Haha.. 22 Ekor Masuk Air” Aksi Lucu Aida Jebat Dan Tunang Buat Netizen Terhibur

kredit astro awani