Hutang Banyak? Anda Seorang Guru? Korang Patut Contohi Sikap Cikgu Ini Yang Rajin Mencari Pendapatan Sampingan!

“Tabulampot” wujud dusun keliling rumah


PASIR MAS: Bermula dengan mempelajari ilmu tanaman di laman maya, seorang guru, Mohd Rosli Yaakub, mampu memperoleh hasil daripada 250 pokok pelbagai jenis buah-buahan dengan menggunakan teknik tanaman dalam pasu atau dikenali sebagai kaedah “tabulampot”.

Mohd Rosli, 46, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, Tumpat, berkata kaedah tabulampot tidak memerlukan kawasan luas dan hanya menanamnya dalam pasu yang bersaiz sederhana mengikut kesesuaian pokok buah.

Kini buah jambu merah, belimbing dan dua jenis mangga iaitu harum manis dan ‘cek ana’ adalah antara hasil yang diperoleh Mohd Rosli yang menetap di Kampung Tendong, di sini.

Tabulampot adalah singkatan ‘tanaman buah dalam pot (pasu).

“Sepohon kebiasaannya saya peroleh lima kilogram (kg) pelbagai jenis buah dan jika ada lebihan saya turut menjualnya kepada guru-guru sekolah serta jiran dengan harga yang rendah.

“Bagaimanapun, apa yang saya lakukan ini bukan untuk keuntungan tetapi hanya untuk dimanfaatkan selain saya juga dapat mengekalkan tubuh badan yang sihat dengan melakukan aktiviti berkebun di kawasan rumah,” katanya.

Bermula pada 2012, Mohd Rosli mempelajari ilmu tabulampot melalui internet kerana berminat dengan kaedah menanam buah-buahan dalam pasu tanpa menggunakan tanah yang luas.

Katanya, dia bermula dengan dua pokok jambu merah ketika itu, serta mempelajari cara penggunaan baja yang sesuai dalam tanaman berpasu serta tidak menggunakan racun

“Saya hanya memerlukan pasu bersaiz sederhana mengikut kesesuaian pokok buah. Tanaman buah-buahan seperti jambu dan mangga senang berbuah dengan kaedah ini,” katanya.

Mohd Rosli berkata beliau juga mengusahakan tanaman pokok mangga harum manis menggunakan kaedah tabulampot pada 2013 berikutan hasil buahnya sukar untuk diperoleh di negeri ini.

Katanya, kaedah penjagaan yang sama dengan tanaman lain namun pengeluaran buahnya tidak seperti pokok buah yang lain kerana ia sejenis buahan bermusim.

“Dari segi pembajaan dan kualiti penjagaan yang diperlukan sama dengan tanaman seperti jambu dan belimbing yang saya usahakan tetapi pengeluaran buah harum manis terhad.

MOHD Rosli memperoleh pelbagai jenis buah-buahan dengan menggunakan tanaman dalam pasu atau dikenali sebagai kaedah tabulampot. – Foto Syamsi Suhaimi
“Hasil sekali dapat tidak banyak seperti tanaman buahan yang lain, biasa buahnya saya peroleh tiga hingga lima biji dalam sepohon namun walaupun sedikit ia tetap berhasil dan unik kerana pokoknya boleh ditanam dalam pasu,” katanya.

“Namun sekarang ini, sudah banyak teknik pertanian yang baharu dicipta untuk kemudahan orang yang tinggal di kawasan bandar dan perumahan yang mana tidak memerlukan tanah yang luas selain ia mudah untuk dijaga dan satunya kaedah menanam dalam pasu,” katanya.

Mohd berkata pembahagian masa amat penting dan itu yang menjadi latihan harian apabila mempunyai komitmen untuk menjaga 250 tanaman pokok menggunakan pasu.

“Pada waktu pagi saya pergi mengajar dan balik kira-kira jam empat petang, saya ambil masa satu jam untuk berehat dan selepas itu pada jam lima petang saya mula untuk beri tumpuan kepada tanaman dengan dibantu anak.

“Biasanya anak saya, Muhamad Alif Qayyum Mohd Rosli, 12, bantu mencuci daun yang luruh dan masa sama dia juga mempelajari bagaimana untuk menanam.

“Dan ini saya anggap sebahagian daripada hobi yang dilakukan bersama keluarga kerana dalam masa yang sama saya juga dapat meluangkan masa dengan mereka ketika berada di kebun,” katanya.

INFO

# Tabulampot adalah singkatan ‘tanaman buah dalam pot/pasu)

# Jenis tanaman buah yang berhasil ditanam – jambu, mangga, kedondong, pisang. – Berita Harian