“Hutang Yang Ditinggalkan Kerajaan Lama Terlalu Banyak, Tidak Dapat Memberikan Wang Percuma”

LANGKAWI – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat memberikan wang percuma kepada rakyat kerana perlu menampung jumlah hutang yang terlalu banyak.

“Hutang yang ditinggalkan kerajaan lama terlalu banyak dan kita perlu berusaha untuk membayarnya,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra bersama Ketua Jabatan, Jawatankuasa PH, Ketua Cawangan dan juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Adya Hotel Langkawi, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian selepas meluangkan masa mendengar luahan hati Pengerusi MPKK Daerah Langkawi yang memerlukan bantuan dan juga dana bagi menjalankan beberapa perkara.

Dalam masa sama, perdana menteri itu juga tidak menolak wang percuma diberikan kerajaan terdahulu kepada rakyat merupakan satu bentuk rasuah selain menggalakkan rakyat kurang berusaha bagi meningkatkan pendapatan.

Katanya, status wang diberikan juga diragui kerana mendakwa wang tersebut ‘dicuri’ daripada hasil tertentu.

“Wang yang diterima digunakan untuk melakukan umrah dan haji, saya pun tidak pasti apa hukumnya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan baharu ketika ini akan melaksanakan pentadbiran lebih cekap dengan mengikut sistem termasuk saluran dan perundangan sedia ada.

“Pada PRU14 rakyat telah menunjukkan protes mereka dengan menukar kerajaan kerana tidak bersetuju dengan cara pemerintahan kerajaan lama.

“Oleh itu, sebagai kerajaan baharu, kita akan mentadbir negara ini dengan penuh adil dan mengikut saluran undang-undang yang betul,” katanya.