“IBU dan abi terkilan kerana tidak dapat menjaga adik sehingga besar. Adik ialah anugerah terindah abi pernah dapat. Terima kasih ya Allah bagi pinjam adik dalam rahim ibu selama 30 minggu ini,” demikian antara luahan Muhammad Kalam Izzat Din Che Darus, menerusi Facebook miliknya, petang semalam.
Muhammad Kalam, 24, memuat naik hantaran itu bagi meluahkan isi hatinya yang hanya sempat bergelar bapa selama 18 jam sebelum anak sulungnya meninggal dunia pada 8.10 pagi semalam.
Jenazah bayi diberi nama Muhammad itu kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Besut, Terengganu, selepas solat Zuhur.
Bercerita lanjut, Muhammad Kalam berkata, Muhammad dilahirkan pada 2.10 petang 21 Julai dan meninggal dunia disebabkan penyakit Anencephaly atau kecacatan otak.
Katanya, penyakit itu dikesan ketika kandungan isteri, Nurul Aisha Nabilla Abdul Razak, 22, berusia tujuh bulan sewaktu mereka membuat imbasan 3D di sebuah klinik.
“Kami diberitahu mengenai keadaan adik (gelaran untuk anak) pada 4 Julai dan menurut doktor, jangka hayat adik tidak lama.
“Doktor beri pilihan kepada isteri untuk bersalin normal (pada 30 September) atau lebih awal dan selepas berbincang, kami memilih bersalin awal dan keputusan itu dibuat untuk kebaikan bersama.
“Namun, Allah SWT lebih menyayangi adik. Walaupun sedih, saya dan isteri reda dan berharap Allah SWT gantikan kesedihan ini dengan kesenangan serta kebahagiaan pada hari mendatang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Muhammad Kalam yang berasal dari Machang, Kelantan berkata, dia pernah melalui pengalaman sama sebelum ini iaitu ketika isterinya keguguran pada November tahun lalu.
Namun, pemergian Muhammad lebih meninggalkan kesan kepada mereka kerana sudah lama menanti zuriat sendiri sejak mendirikan rumah tangga pada 16 Jun tahun lalu.
“Isteri mengalami alahan teruk ketika mengandung hingga kurang selera makan dan kerap muntah. Keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat mengambil Acid Folic secara konsisten .
“Mungkin itu menjadi salah satu punca kepada penyakit anak kami, tetapi ajal dan maut di tangan Allah SWT jadi semuanya sudah tertulis.
“Ikutkan, sudah lama saya mahu meluahkan apa yang terbuku di hati, tetapi saya pendam perasaan itu sehingga semalam kerana enggan isteri bersedih.
“Tak sangka pula, perkongsian itu menjadi tular dan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan. Bukan niat saya untuk meraih simpati tetapi perkongsian itu diharap menjadi pengajaran terutama kepada bakal ibu dan bapa di luar sana,” katanya.
Setakat jam 8 malam ini, perkongsian Muhammad Kalam mendapat 9,800 tanda suka,6,000 komen dan dikongsi 8,100 kali oleh warganet.