Ibu Ditahan Dalam Penjara Lahirkan Anak Bersendirian Tanpa Siapa-Siapa

Houston: Seorang banduan wanita di Fort Worth, Texas, berdepan detik mencemaskan apabila melahirkan bayinya sendiri di dalam sel penjaranya.

Oddee.com melaporkan menurut pegawai sherif Tarrant County, insiden itu berlaku pada 17 Mei lalu dan wanita berkenaan tidak memaklumkan kelahiran bayinya itu sehingga ia disedari salah seorang pegawai bertugas.

Wanita berkenaan dan bayinya kemudian dibawa ke hospital namun tiada maklumat diberi berhubung tahap kesihatan mereka.

Menurut jurucakap pejabat sherif Tarrant County, Jennifer Gabbert, kakitangan penjara sebelum ini sudah mengetahui bahawa wanita itu hamil.

Katanya, pihak penjara juga kerap melakukan pemeriksaan bagi memeriksa tahap kesihatan bayi di dalam kandungannya.

“Tiada maklumat tepat berhubung kekerapan pemeriksaan dilakukan dan sama ada kakitangan mengetahui tarikh wanita itu dijangka bersalin.

“Bagaimanapun, siasatan dalaman tidak menemukan sebarang bukti salah laku kakitangan penjara,” katanya. Difahamkan, wanita itu ditahan dalam penjara sejak Januari lalu kerana tidak dijamin. Dia berdepan dengan dakwaan menyerang ahli keluarga, mencederakan seorang kanak-kanak dan orang tua.

Dalam pada itu, penjara sama juga menerima notis ketidakpatuhan pada 21 Mei selepas kakitangannya gagal memeriksa seorang tahanan tepat pada waktunya. Ia menyebabkan satu kejadian bunuh diri di penjara berkenaan.

“Kami menganggap ini sangat serius dan siasatan dalaman sedang berjalan. Pengurusan penjara sudah mengemukakan rancangan untuk mengatasi masalah ini,” kata Jennifer. Agensi

kredit harian metro