Ibu Saya Yang Didik Saya Begini, Dia Kongsi Rahsia Kehidupan Pada Saya- Tun Mahathir

Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang genap usia 94 tahun hari ini, menyifatkan ibu beliau, Allahyarham Wan Tempawan Wan Hanapi, sebagai individu paling berpengaruh dalam hidupnya.

“Beliau membesarkan saya, beliau mendidik saya tentang budi pekerti, tentang perkara yang seharusnya saya lakukan,” kata Perdana Menteri kepada Bernama Radio, dalam wawancara khas bersempena ulang tahun itu.

Ditanya rahsia beliau yang begitu bersemangat dan bertenaga, Mahathir berkata, beliau kini bersederhana dalam melakukan pelbagai perkara, termasuk makan minum, selain sentiasa aktif.

“Saya jaga berat badan supaya jangan keterlaluan dan ini bermakna saya berhati-hati bila makan dan saya berpendapat kalau kita tidak aktif dalam kehidupan, kita akan jadi lemah sama ada tubuh badan atau akal fikiran. Bila aktif, barulah semuanya berfungsi dengan baik,” katanya.

Jika ada kelapangan, Mahathir berkata, beliau suka membaca dan menulis serta melakukan sedikit sebanyak senaman. – Bernama