Ibu Terkejut Terima Video “Intim” Anak Bertalu-Talu Minta “Langgan”Anak Daripada Lelaki

TERLUKA hati seorang ibu apabila menerima kiriman WhatsApp bertalu-talu daripada individu tidak dikenali yang ingin melanggan anaknya selepas video intim bersama bekas teman lelaki disebarkan sejak dua bulan lalu.

Semuanya berpunca apabila hubungan anaknya yang berusia 21 tahun bersama seorang lelaki terputus di tengah jalan selepas mengetahui lelaki itu berkeluarga dan mempunyai anak.

Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Lucy, 50-an itu berkata, dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila menerima mesej yang mahu bertanyakan harga untuk perkhidmatan seks yang ditawarkan.

“Selepas buka Facebook (FB), saya dapati ada mesej menunjukkan gambar anak saya sedang melakukan hubungan intim bersama lelaki dikenali. Ada tiga video dengan tarikh berlainan.

“Hingga sekarang saya takut untuk membuka telefon kerana bimbang akan dapat mesej yang begitu. Selepas berbincang, anak saya maklumkan bahawa bekas teman lelakinya itu tidak dapat menerima hakikat hubungan mereka sudah berakhir.

“Saya ibu kandung dia, saya bukan ibu ayam, tolong hentikan sebar video itu,” katanya ketika membuat aduan kepada aktivis masyarakat, Azman Kang Abdullah.

Lucy berkata, anaknya itu menjalinkan hubungan dengan lelaki berkenaan sejak dua tahun lalu dan sama-sama bekerja di sebuah pusat peranginan di Pantai Timur.

Katanya, pada mulanya dia menyangka mereka hanya rapat sebagai rakan sekerja namun hubungan itu berterusan sehingga menimbulkan bibit cinta.

“Dia ada menyatakan keinginan untuk berkahwin, namun anak saya tidak mahu kerana lelaki itu sudah pun berumahtangga, lagi pula mereka berlainan agama. Selepas itu dia mengugut untuk tularkan video dan gambar intim, atau terus menjalinkan hubungan sulit dengannya.

“Saya terpaksa mengambil keputusan meminta anak saya berhenti kerja kerana bimbangkan keselamatan, apatah lagi tempat kerjanya di pulau yang tidak ramai penghuni,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan   “Kepada Pihak Sana, Saya Tidak Akan Maafkan Walau Sebutir Yang Keluar Dari Mulut Anda”- Syafie Naswip

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada pihak berwajib bagi memastikan penularan video berkenaan dihentikan serta-merta.

Katanya, pihaknya turut memberikan kaunseling kepada mangsa yang masih bimbang kerana mengetahui lelaki berkenaan masih menyimpan gambar dan video intim terbabit.

“Dalam kes ini, dia sudah mengaku melakukan kesilapan dan meminta maaf kepada keluarga. Tetapi lelaki berkenaan masih lagi menyebarkan gambar terbabit kepada kenalan terdekat.

“Kita minta pihak berkuasa menyiasat perkara ini kerana mungkin membabitkan mangsa lain yang tidak mahu tampil membuat laporan,” katanya.

kredit harian metro