“Imam Ismail Memang Seorang Yang Hebat, Jasa Beliau Memang Tak Dapat Dinafikan, Kami Redha Dengan Pemergiannya”

PASIR PUTEH – Pemergian Imam Tua Masjid Mukim Telaga Papan, Ismail Yaacob, 67, di Mekah petang semalam adalah satu kehilangan seorang tokoh agama yang aktif membangunkan syiar Islam di negeri ini.


Kadi Jajahan Pasir Puteh, Mohd. Fadli Sulaiman berkata, arwah dilantik sebagai Imam pada awal tahun 1990 merupakan aktivis masyarakat yang banyak membantu anak mukim dalam segala bidang kehidupan terutama hal ehwal keagamaan.

Menurutnya, Ismail yang lebih terkenal dengan Imam Jubah dan mesra dengan panggilan Pok Wil turut memperjuangkan nasib golongan asnaf untuk memiliki rumah yang selesa menerusi saluran yang ada.

“Namanya sangat terkenal di kawasan Semerak dan arwah sering menyampaikan kuliah agama di serata tempat termasuk menyampaikan ceramah kepada pelajar di sekolah-sekolah sekitar daerah ini.

” Beliau seorang yang sangat istiqomah dan memiliki komitmen yang sangat tinggi dalam tugas yang diamanahkan kepadanya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Allahyarham Ismail Yaacob meninggal dunia pukul 1 petang semalam akibat serangan jantung.

Jenazah disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Perkuburan Arafah.

Mohd. Fadli berkata, arwah imam itu memiliki karisma tersendiri sebagai pemimpin setempat dan dianggap sebagai ‘ayah’ dalam kalangan kakitangan Pejabat Agama Jajahan dan penduduk setempat.

Menurutnya, beliau juga sangat aktif sebagai anggota Skuad Amru Jajahan ini.

“Jasa beliau yang sangat besar ialah ingin melihat tertubuhnya sebuah pusat pengajian tahfiz di Kampung Telaga Papan. Sehinggakan dua hari sebelum kematiannya beliau masih meminta nombor akaun tahfiz dan masjid untuk mencari dana dengan jemaah haji.

” Kami menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarganya sabar menghadapi ketentuan Illahi. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya. – K! ONLINE