“Ingat Cerdik Sangat” Lepas Berjaya Mencuri Tabung Masjid, Tup-Tup Terus Remaja Ini Kantoi Dengan Polis

DUNGUN – Hasrat seorang remaja dipercayai penagih dadah untuk melarikan tabung kutipan derma milik sebuah masjid di Paka dekat sini yang dicurinya semalam tidak kesampaian apabila dia diberkas polis.

Remaja lelaki berusia 17 tahun tersebut ditahan di pekarangan masjid berkenaan oleh sepasukan polis yang sedang mengadakan rondaan pada pukul 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Paka dekat sini yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan suspek berada di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan di pekarangan masjid.

“Sebaik anggota polis terlibat mengenalkan diri, suspek yang menggelabah cuba menghidupkan enjin kenderaan tetapi gagal sebelum berlaku sedikit pergelutan.

“Dia akhirnya berjaya ditahan dan pemeriksaan di dalam kenderaan Perodua Alza berkenaan telah menemui tabung besi dipercayai milik masjid tersebut yang mengandungi wang tunai RM3 disyaki dicuri suspek,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Baharudin berkata, pihak polis juga menjumpai perengkuh paip yang dipercayai digunakan untuk memecah tabung kutipan derma masjid berkenaan. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Pakar Mengatakan Sebenarnya Kucing Tahu Nama Diri Sendiri Tapi Malas Nak Layan Pemiliknya- Kajian