“INILAH kali pertama dalam hidup saya melihat anak kambing seperti bentuk bayi, rasa sungguh ajaib tapi semua ini kebesaran Allah SWT,” Junainah Ahmad, 42.
Begitulah luahan ketakjuban seorang wanita, Junainah Ahmad, 42 apabila melihat anak kambing yang menyerupai bayi di Kampung Charuk Tok Pong di Sik, minggu lalu.
Katanya, dia hanya mengetahui perkara itu dari penduduk Kampung Charuk Tok Pong ketika berada di sekolah pada pagi Khamis lalu untuk menerima bantuan persekolahan anaknya.
Dia berkata, sebaik sahaja tamat majlis itu, dia terus mengajak jirannya untuk melihat sendiri anak kambing itu berikutan rumahnya di Kampung Lubuk Tualang, Sik sangat dekat dengan kampung berkenaan.
“Kira-kira 11.30 pagi saya dapat melihat sendiri dengan mata saya anak kambing yang baru lahir itu di rumah lelaki dalam usia 70-an yang hanya saya kenali sebagai Pakngah Judin yang juga pemilik kambing berkenaan.
“Menurut Pakngah Judin, anak kambing itu dilahirkan kira-kira 5 pagi di kandang kambing berdekatan rumahnya.
“Pada sebelah malamnya sebelum itu, ibu kambing yang bunting itu sudah pun menunjukkan tanda mahu beranak dan sehinggalah 5 pagi apabila Pakngah Judin sendiri bangun untuk melihat keadaan kambing itu kerana ia menjadi semakin bising.
“Pada subuh, cucu Pakngah Judin bangun untuk ke sekolah terus melihat anak kambing itu dalam keadaan seperti itu dan ia mula tersebar kepada penduduk kampung berkenaan termasuk penduduk Kampung Lubuk Tualang,” katanya yang juga adalah seorang suri rumah.
Bercerita lanjut, Junainah berkata, anak kambing itu bagaimanapun mati tidak lama selepas kelahirannya dan melihatkan keadaan fizikalnya itu, anak kambing itu tidak mempunyai bulu selebat kambing biasa melainkan bulu halus seperti manusia.
Katanya, bahagian perutnya seperti perut bayi dan kulitnya sangat lembut dan ia seolah-olah lembik tidak mempunyai tulang.
“Saya melihat ibu kambing itu menjilat-jilat anaknya yang sudah mati, saya sempat mengambil gambar untuk dijadikan kenangan dan bangkai kambing itu kemudian ditanam pada sekitar 1 petang.
“Ramai penduduk yang pergi melihat anak kambing berkenaan, saya jangkakan beratnya dianggarkan dalam empat kilogram, semuanya merasa pelik dengan kejadian itu tapi itulah kebesaran Maha Esa kerana tiada yang mustahil bagi-Nya,” kata Junainah.
Usaha Harian Metro untuk menemubual pemilik anak kambing itu bagaimanapun gagal apabila lelaki yang dikenali sebagai Pakngah Judin itu tidak mahu ditemu bual.