“Itu Sarapan Terakhirnya” Remaja Maut Gara-Gara Tercampak Dari Lereng Bukit, Nyawanya Tidak Dapat Diselamatkan

Hasrat seorang remaja lelaki yang keluar rumah untuk membeli sarapan berakhir dengan tragedi selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas dalam satu kejadian di Jalan Kantansari, Sungai Buaya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Azman Ab. Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika mangsa, Muhammad Aliff Najmi Sariman Adi, 16, yang menunggang motosikal jenis Yamaha sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Cempiasari dari arah Persiaran Bakawali.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas mengakibatkan remaja berkenaan tercampak dari lereng bukit setinggi kira-kira 5 meter dan memasuki kawasan halaman sebuah rumah.

“Penghuni rumah berkenaan yang terkejut dengan kejadian itu seterusnya bertindak menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Azman, susulan kejadian tersebut, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu,” jelas beliau. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Pemandu Lori Disaman Sebab Tak Pakai Seluar Dalam Semasa Memandu, Ini Penjelasan Sebenar Oleh Pengarah JPJ