Jalani Rawatan & Kuarantin Di HSB, Puteri Aishah Insaf

Disahkan positif COVID-19 selepas pulang dari menjalani penggambaran di Scotland, pelakon Puteri Aishah kini sedang menjalani rawatan dan kuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB), sejak tiga hari lalu.

Menurut Puteri Aishah apabila dia melihat keadaan petugas barisan hadapan mengendalikan pandemik COVID-19 menimbulkan perasaan keinsafan dalam dirinya. Ujarnya, dia tidak dapat membayangkan keadaan petugas hospital yang terpaksa memakai PPE untuk tempoh yang lama.

“Saya kagum dengan komitmen yang ditunjukkan petugas barisan hadapan. Mereka bersungguh membendung penularan virus ini. Bayangkan, kita pakai topeng muka pun rimas, apatah lagi mereka yang terpaksa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) untuk tempoh lama.

“Bukan itu sahaja, mereka juga mempertaruhkan nyawa dengan tugas berbahaya itu. Saya melihat mereka di depan mata, rasa insaf dalam diri. Jadi, patuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuat kuasa kerajaan.

“Kasihanilah petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membendung pandemik ini,” katanya secara eksklusif kepada BH Online.

Puteri Aishah turut menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak takut untuk menjalani ujian saringan COVID-19 jika pernah mempunyai kontak dengan individu yang dijangkiti dan tidak mementingkan diri sendiri.

Dalam pada itu, Puteri Aishah berkata keadaannya kini stabil namun dia mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, tetapi tidak begitu serius. Ujarnya lagi, dia tidak mengalami gejala demam, batuk mahupun sesak nafas.

Sumber : Rotikaya

Artikel Berkaitan   “Ter0k ‘Dibahasakan’ Netizen Malaysia Wartawan UK Minta Maaf,” Berhasrat Makan Nasi Lemak Asli