Jamal Abdilllah Bersyukur Gembira Kerana Bakal Menimang Anak Perempuan Sulungnya

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Jamal Abdillah melahirkan rasa teruja apabila bakal menimang anak perempuan menerusi zuriat sulungnya bersama isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, yang kini hamil enam bulan.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, 60, berkata, isterinya itu kini diminta untuk lebih banyak berehat lebih-lebih lagi selepas pernah keguguran sebanyak tiga kali.

“Saya berasa sangat gembira apabila dikhabarkan oleh doktor yang kami bakal menimang cahaya mata perempuan.

“Buat masa ini, usia kandungan sudah menjangkau enam bulan dan saya sentiasa memastikan isteri berada di rumah dan mendapat rehat yang secukupnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Jamal menjelaskan, beliau mengalu-alukan peminat untuk memberikan nama kepada anak perempuannya itu.

“Saya sentiasa mengalu-alukan cadangan nama anak yang sesuai daripada peminat.

“Asalkan, nama tersebut mempunyai maksud yang baik,” ujarnya.

Cahaya mata sulung bersama Zai itu dijangka bakal dilahirkan pada 4 November depan.

Jamal mendirikan rumah tangga bersama Zai pada 1 April 2019 di Ipoh, Perak.

Terdahulu, Jamal pernah berkahwin sebanyak tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd. Yusof dan Fatimatuzahrah Samad.

Namun, ketiga-tiga perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal dikurniakan dua anak lelaki iaitu Osama Yamani yang kini berusia 18 tahun dan Ahmad Zaki Yamani, 12. – K! ONLINE

(Visited 451 times, 1 visits today)