Jangan Lengah Lagi Bila Sakit Di Kawasan Kiri Perut, Mungkin Ia Appendix, Kalau Tunggu Lagi Takut Pecah

Apendiks adalah salah satu daripada masalah kesihatan yang paling digeruni oleh rakyat Malaysia. Ini kerana kita sering dikhabarkan dengan maklumat kononnya jika apendiks seseorang pecah, ia boleh menyebabkan individu tersebut meninggal dunia pada saat itu juga. Adakah apendiks satu keadaan yang merbahaya dan boleh menyebabkan maut? Apakah tanda tanda apendiks? Bagaimana cara untuk menyembuhkannya?


Apakah yang dimaksudkan dengan sakit apendiks?

Sakit apendiks atau istilah perubatannya Appendicitis adalah satu keadaan di mana berlakunya keradangan pada apendiks iaitu tisu sepanjang 3 setengah inci yang keluar dari usus besar. Apendiks mengandungi tisu khusus yang berfungsi untuk menghasilkan antibodi badan. Jika anda disahkan mengalami sakit apendiks, ia dianggap sebagai satu kecemasan perubatan yang memerlukan pembedahan dilakukan dengan segera untuk mengeluarkan appendiks dari tubuh badan anda.

Sekiranya sakit apendiks tidak dirawat, keradangan pada apendiks akan menjadi semakin serius lalu menyebabkan apendiks anda pecah. Ia juga boleh menyebabkan radang tadi merebak serta berjangkit ke dalam rongga perut lalu terjadinya jangkitan pada rongga perut atau peritonitis iaitu keradangan yang serius pada lapisan rongga perut yang boleh membawa maut melainkan ia dirawat dengan cepat menggunakan antibiotik yang kuat.

Dalam sesetegah kes, sakit apendiks boleh menyebabkan terbentuknya abses yang berisi nanah di luar apendiks yang sedang mengalami keradangan. Tisu parut atau abses itu tadi boleh menyebabkan kemudian apendiks tertanggal dengan sendiri dari perut untuk mencegah jangkitan daripada merebak ke organ perut yang lain. Apendiks yang bernanah juga boleh membahayakan nyawa.

Apakah punca sakit apendiks?

Sehingga ke hari ini, punca sebenar sakit apendiks masih belum dapat dikenal pasti. Namun dipercayai bahawa pembentukan sebarang halangan pada apendiks boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kepada apendiks. Di antara halangan yang boleh berlaku pada apendiks ialah:

  • Pengumpulan najis yang banyak dan menjadi keras
  • Folikel limfoid yang membesar
  • Cacing
  • Trauma
  • Tumor

Apabila terdapat halangan pada apendiks, ia akan menyebabkan bakteria berkumpul di situ dan menyebabkan berlakunya jangkitan. Jangkitan akan menyebabkanberlakunya pembentukan nanah. Malah jangkitan juga boleh menyebabkan berlakunya mampatan pada saluran darah di dalam apendiks. Jangkitan dan pembentukan nanah akan meningkatkan tekanan dalam apendiks lalu menyebabkan kesakitan yang amat sangat.

Apakah tanda tanda apendiks?

Adalah sangat penting untuk anda mengetahui apakah tanda tanda apendiks supaya anda menyedari kehadirannya sebelum terlambat. Bagi kes apendiks, rawatan yang cepat adalah sangat penting dan boleh menyelamatkan nyawa. Di antara tanda tanda apendiks ialah:

  • Sakit pada bahagian atas perut. Kawasan ini dikenali sebagai titik “McBurney” yang merupakan tanda pertama sakit apendiks. Ia merupakan kesakitan yang sangat kuat dan tajam. apabila kesakitan beralih ke bahagian bawah perut sebelah kanan
  • Sakit pada bahagian berdekatan pusat
  • Hilang selera makan
  • Loya dan mual
  • Muntah-muntah
  • Cirit-birit
  • Sembelit
  • Tidak boleh mengeluarkan angin kentut
  • Bengkak pada perut
  • Demam
  • Kejang perut
  • Sakit semasa membuang air kencing

Oleh itu, jika anda mengalami sakit perut yang teramat sangat dan lengkap dengan tanda tanda apendiks yang lain, sila ke hospital dengan kadar segera untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

Apakah yang akan berlaku sekiranya apendiks anda pecah?

Sekiranya sakit apendiks anda tidak dirawat dan apendiks anda pecah, kandungan dalam apendiks akan tumpah dan mengisi rongga perut. Keadaan ini adalah kecemasan perubatan. Di antara akibat daripada apendiks yang pecah ialah:

  • Peritonitis iaitu radang pada tisu yang melingkari dinding perut
  • Radang pada cecum
  • Radang pada pundi kencing
  • Radang pada kolon sigmoi
  • Abses atau tisu parut pada organ perut yang terkena limpahan kandungan apendiks

Apakah komplikasi sakit apendiks?

Berikut adalah di antara komplikasi yang sering dialami oleh pesakit apendiks:

  • Penembusan apendiks. Jika penembusan apendiks berlaku, ia akan menyebabkan berlakunya abses iaitu pengumpulan nanah yang berjangkit atau peritonitis iaitu jangkitan pada seluruh lapisan perut dan pelvis. Penembusan apendiks boleh berlaku disebabkan oleh penangguhan diagnosis dan rawatan. Semakin lama anda menangguhkan pembedahan, semakin besar kemungkinan penembusan berlaku.
  • Penyumbatan atau halangan usus. Penyumbatan atau halangan usus boleh berlaku apabila berlakunya keradangan pada apendiks lalu menyebabkan berlakunya mampatan pada usus lalu menghalang kandungan usus dari disingkirkan. Sekiranya usu yang tersumbat berisi cecair dan gas, perut akan menjadi kembung dan anda akan mendapat gejala seperti loya dan muntah.
  • Sepsis iaitu satu keadaan di mana bakteria yang menjangkiti apendiks telah memasuki saluran darah dan mengalir ke bahagian badan yang lain. Ini adalah komplikasi yang sangat serius dan boleh mengancam nyawa.

Apakah rawatan bagi sakit apendiks?

Sekiranya anda disahkan mempunyai sakit apendiks, berikut adalah rawatan yang akan diberikan kepada anda:

  • Appendectomy iaitu pembedahan untuk membuang apendiks. Melalui prosedur ini, apendiks akan dipotong dan dikeluarkan dari badan anda untuk melalui kaedah laparoskopi bagi mengelakkan berlakunya komplikasi yang tidak diingini seperti apendiks pecah.
  • Sekiranya abses atau tisu parut telah terbentuk, anda mungkin melalui dua prosedur semasa pembedahan iaitu untuk membuang nanah dan untuk mengeluarkan appendiks.
  • Antibiotik diberikan kepada anda sebelum pembedahan appendectomy dijalankan dengan tujuan untuk melawan kemungkinan peritonitis.
  • Sekiranya anda didapati mempunyai peritonitis, perut anda akan dicuci semasa pembedahan untuk mengeluarkan nanah.
  • Dalam sesetengah kes, pembedahan jenis lain dengan luka yang lebih besar akan dijalankan ke atas anda sekiranya apendiks telah pecah dan luka telah merebak, terdapat tumor dalam sistem pencernaan, pesakit adalah wanita dalam trimester ketiga kehamilannya, atau pesakit telah menjalani banyak pembedahan perut sebelum ini.