“Jika ada impian, ikut kata hati” – Nor ‘Phoenix’ Diana tekad beraksi di gelanggang WWE

PADA waktu siang Nor ‘Phoenix’ Diana adalah seorang pembantu klinik, namun kala malam menjelma gadis yang baharu sahaja berusia 19 tahun ini akan bertukar menjadi seorang ahli gusti yang tangkas digelanggang.


Barangkali Diana adalah ahli gusti pertama di Malaysia dan dunia yang memakai hijab dalam sukan yang didominasi oleh kaum lelaki itu.

Bulan lalu, Diana dinamakan sebagai juara pertandingan Malaysia Pro Wrestling (MyPW) Wrestlecon di MyPW Fightback dan dia muncul sebagai peserta wanita pertama menerima gelaran itu selepas menewaskan empat ahli gusti lelaki, termasuk bekas juara Gotham.

Buat masa ini hanya Diana dan seorang lagi ahli gusti wanita yang bergiat aktif di negara ini dan setakat ini telah pun meraih lebih 37,700 pengikut di Instagram, malah bintang WWE Amerika iaitu Adeel Alam yang lebih dikenali sebagai Ali turut menghantar tweet kepada Diana.

“Saya tidak percaya hanya kerana status sebagai seorang wanita membuatkan saya tidak dapat mengejar impian dan minat.

“Sukan gusti memang sukar dan mencabar tetapi saya sukakannya kerana ia dapat membuktikan wanita juga boleh lakukannya,” katanya ketika ditemui Star2 di pusat kecergasan di Puchong baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam sukan lasak itu, Diana memberitahu semuanya bermula apabila dia bermain permainan video berkaitan gusti bersama adiknya.

Minat itu semakin berkembang apabila dia sering menonton perlawanan gusti di televisyen sebelum mula mengambil kelas di MyPW yang juga sebuah badan gusti pro negara sekitar 2015.

Kata Diana, selepas dua bulan menjalani latihan, dia berpeluang menyertai sebuah pertandingan bagi menggantikan peserta lain dan tiada siapa menyangka dia memenangi pertandingan itu.

Kemenangan itu juga menandakan permulaan perjalanan Diana dalam sukan itu.

“Apa yang saya suka tentang gusti adalah bagaimana penonton dan saya berinteraksi, mereka akan bersedih apabila saya tercedera dan saya dapat lihat betapa agresifnya mereka bersorak untuk saya seperti sebuah keluarga,” katanya.

Cerita gadis berasal dari Kuala Lumpur ini, dia sangat mengagumi ahli gusti dari Amerika Syarikat iaitu Sasha Banks kerana karisma dan keyakinan diri yang ditunjukkan saat masuk ke gelanggang.

Diana melangkah masuk ke gelanggang dengan yakin pada pertandingan Malaysia Pro Wrestling Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Apabila saya lihat dia di televisyen, saya dapat rasa banyak perkara yang boleh dilakukan oleh seorang wanita.

“Sasha juga mempunyai saiz badan yang kecil tetapi ia tidak pernah menjadi halangan untuk beraksi di gelanggan dan itu membuatkan dia menjadi idola saya,” katanya yang mempunyai berat 43 kilogran dan ketinggian 155 sentimeter.

“Kekuatan Diana seperti 10 tahun pengalaman” – Jurulatih

Dan sudah tentu insan yang membentuk Diana adalah jurulatihnya, Ayez Shaukat Fonseka Farid, pengasas dan ketua jurulatih di MyPW.

“Saya tidak layan dia berbeza dengan ahli gusti lain. Diana seorang yang kuat seperti mana pelatih lelaki lain dan jika mereka perlu buat tekan tubi, Diana juga perlu lakukannya,” ujarnya yang juga seorang pelakon dan pengarah.

Ayez, 31, juga positif dengan kesungguhan dan komitmen ditunjukkan Diana walaupun masih ada skeptikal dengan kebolehannya di gelanggang.

“Apa yang saya suka tentang Diana adalah minat dan kesungguhannya. Dia satu-satunya pelatih wanita di sini tapi dia tidak pernah mengambil mudah tentang perkara itu.

“Dia benar-benar minat dengan apa dilakukan dan tidak pernah ponteng setiap kali latihan diadakan walaupun tercedera,” dedahnya.

Walaupun baharu sahaja terlibat dalam sukan lasak itu, Ayez bagaimanapun memberitahu kemahiran dan kekuatan Diana menyamai dengan ahli gusti wanita yang mempunyai 10 tahun pengalaman.

“Dia sangat bagus. Ketika mula-mula menyertai kami, dia sangat pemalu dan bimbang kerana dia memakai tudung tetapi dia tunjukkan kesungguhan dengan hadir pada setiap latihan.