“Jika Benar Anak Saya Disihir, Kami Maafkan” Sejak Afiqah Menderita Berat Naik Sehingga 300KG, Ini Yang Telah Berlaku

SEJAK kisahnya yang mengalami penyakit misteri dipaparkan dalam akhbar minggu lalu, rumahnya tidak putus menerima kunjungan pengamal perubatan Islam dan tradisional.


Telefon bimbit milik Nur Izzati Afiqah Hussian, 29, juga sentiasa dihubungi individu yang berhasrat untuk merawatnya berikutan simpati dengan nasib yang dialami gadis berkenaan.

Dia berkata, kebanyakan ustaz atau pengamal perubatan tradisional yang datang ke rumahnya dari sekitar Kelantan, manakala yang berada jauh termasuk luar negeri sekadar merawatnya menerusi panggilan telefon.

“Majoriti mereka memberitahu saya terkena ilmu hitam iaitu disihir berdasarkan beberapa tanda termasuk keadaan fizikal yang membesar secara drastik sedangkan rutin pemakanan saya sama seperti mereka yang normal.

“Saya juga dilawati pihak klinik beberapa hari lalu dan hasil pemeriksaan kesihatan yang dijalankan, semuanya normal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gaung, Tendong di Pasir Mas, hari ini.

Afiqah berkata, sejak kisahnya dilaporkan baru-baru ini, ramai rakan serta bekas guru datang menziarahnya dan meluahkan rasa terkejut dengan keadaan yang menimpanya, malah rata-rata bersimpati sambil menangis ketika bercerita dengannya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan keadaan fizikal Nur Afiqah Izzati yang juga bekas tenaga pengajar sebuah kolej di Melaka, mencecah berat hampir 300 kilogram (kg) berbanding berat asalnya hanya 150 kg.

Berat itu meningkat secara drastik dalam masa tiga bulan menyebabkan Afiqah kini tidak mampu bangun dan perlu bergantung kepada ahli keluarga untuk menguruskannya termasuk ketika buang air.

Afiqah juga kerap mengeluarkan pasir, batu serta paku ketika buang air kecil dan besar malah kerap tidak sedarkan diri sehingga memaksa ahli keluarga memanggil imam atau ustaz untuk memulihkannya semula.

Bagaimanapun dia berkata, ada sedikit perubahan yang berlaku terhadapnya yang mana berasa fizikalnya mulai ‘mengecut’ sejak beberapa hari kebelakangan ini dan perkara itu diakui ibunya, Maheran Daud, 54, yang menguruskannya setiap hari.

Maheran berkata, perubahan itu sedikit sebanyak memberi harapan kepada mereka untuk tidak berputus asa mencari ikhtiar merawat anaknya itu sekali gus dapat kembali bekerja dan menjalani hidup seperti mereka yang normal.

“Jika benar anak saya disihir, kami tidak mahu ambil tahu siapa yang bertanggungjawab dan sedia memaafkannya, sebaliknya apa yang penting bagi kami sekarang adalah kesembuhan buat Afiqah.

“Selain sedih melihat keadaannya, kami juga berdepan dengan kekangan kewangan kerana perlu menyediakan lebih RM2,000 sebulan untuk kegunaannya iaitu pengalas cadar, krim tubuh untuk mengelakkan kulitnya berkudis, plaster penampal dan beberapa peralatan lain lagi yang digunakan setiap hari,” katanya.