Jururawat Meninggal Dunia Gara-Gara Covid-19, Sekumpulan Orang Kampung Halang Pihak Berkuasa Kebumikan Mayat Itu Di Kampungnya

JAKARTA: Penduduk sebuah desa di Jawa Tengah, Indonesia bertindak menghalang pihak berkuasa mengebumikan jenazah jururawat yang meninggal dunia kerana virus COVID-19 di kawasan tanah perkuburan di kampung mereka.

Menurut media tempatan, Nuria Kurniasih, 38, jururawat di Rumah Sakit Umum (hospital) Dr Kariadi, Semarang, meninggal dunia pada Khamis lalu, selepas seminggu dirawat akibat jangkitan virus itu.

Jenazah sepatutnya dikebumikan di kampung halamannya di Pemakaman Umum Sewakul, pada Khamis, namun sekumpulan penduduk desa itu menghalang pihak berkuasa berbuat demikian kerana bimbang virus itu akan tersebar di desa mereka.

Van jenazah terpaksa berpatah balik ke hospital dan jenazah kemudiannya dikebumikan di kawasan perkuburan di hospital Dr Kariadi, Semarang.

Menurut media tempatan, sekumpulan penduduk menghalang pihak berkuasa daripada memasuki tanah perkuburan di desa itu sekalipun semua persiapan pengebumian telah dilakukan, malah keluarga jururawat itu turut menangis dan merayu agar penduduk kampung tidak berbuat demikian.

Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dalam satu kenyataan menyatakan kekesalan berhubung kejadian itu dan berharap kejadian sedemikian tidak berulang apatah lagi membabitkan seorang petugas kesihatan, yang berjasa kepada masyarakat dan negara.

Ketua Desa Sewakul, Purbo memohon maaf kepada keluarga jururawat itu dan menyatakan beliau tidak berdaya menghalang tindakan agresif sekumpulan masyarakat di desa itu.

Warganet di media sosial dan Persatuan Perawat (jururawat) Nasional Indonesia seperti dipetik agensi berita ANTARA, turut mengecam tindakan sekumpulan masyarakat berkenaan.

kredit sabah post

Artikel Berkaitan   “Anak-Anak Mana Dato” Video Aliff Syukri Sambut Hari Lahir Sorang-Sorang, Bila Makan Kek, Reaksi Mukanya Berubah