“Kalau Cekap Sangat Berniaga, Pergilah Berniaga Di Afghanistan Dan Tengok Untung Atau Rugi”- Mat Sabu

SUNGAI PETANI – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu secara sinis mencabar ahli-ahli perniagaan Malaysia yang berasa diri mereka ‘hebat’ agar berniaga di Afghanistan untuk membuktikan sama ada mereka mampu menjana keuntungan atau tidak di sana.


Tanpa merujuk secara spesifik kepada mana-mana ahli perniagaan, beliau melemparkan cabaran itu susulan ada antara mereka yang membuat kenyataan negatif dan menghina pasukan keselamatan negara.

“Tadi kita berjumpa dengan beberapa veteran yang kena ‘booby trap’ (jerangkap samar), harap jutawan-jutawan di Malaysia tahulah, sampai kena ‘booby trap’, mereka dapat berniaga sehingga kaya-raya sekarang ini.

“Kalau orang-orang yang pandai berniaga ini, kalau cekap sangat berniaga, pergilah berniaga di Afghanistan dan tengok untung atau rugi,” katanya semasa berucap selepas menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran Angkatan Tentera (ATM) peringkat negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, di Bedong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, penghargaan yang diberikan kepada pasukan keselamatan negara pada hari ini dilihat amat berbeza berbanding suatu ketika dahulu.

“Kebanyakan (veteran) di sini berkhidmat di tahun 60-an, 70-an dan 80-an dan pada waktu itu penghargaan kepada tentera begitu tinggi, gaji tidak setinggi mana, tapi penghormatan rakyat kepada tentera begitu tinggi.

“Sehinggakan kalau orang kampung pergi meminang dahulu, kalau cikgu dengan tentera, ibu bapa pilih tentera,” katanya yang disambut tawa veteran dan tetamu yang hadir.

Beliau menambah, pada waktu itu masyarakat sentiasa diingatkan tentang pengorbanan anggota tentera terutama menerusi lagu-lagu yang digubah untuk menghargai peranan dan jasa mereka.

Namun, katanya, apabila negara berada dalam keadaan aman dan tenteram pada hari ini, pengorbanan anggota tentera seperti telah dilupakan.

“Mereka yang dapat berniaga dan boleh berniaga dengan begitu baik dan membuat keuntungan, mereka sudah lupa jasa-jasa angkatan tentera, sampai sanggup menghina angkatan tentera (hanya) makan (dan) tidur, ada pula yang mengatakan tentera wanita elok jadi amah dan tukang cuci,” katanya yang kesal dengan semua kenyataan negatif itu dan berharap ia tidak berulang.

Pada majlis itu seramai 537 veteran ATM yang terdiri daripada ahli beberapa persatuan veteran dianugerahkan PJM sebagai menghargai jasa dan bakti mereka kepada negara. – Bernama