“Kalau Saya Tak Ke Laut Tiadalah Makan Pada Hari Ini”. Pak Kulup Ada 11 Orang Anak Tapi Tetap Mahu Ke Laut

“JIKA saya tak ke laut tiadalah ikan untuk dijual dan tiada makanan kami nanti, sebab itu saya gagahkan diri ke laut,” kata Mat Taib Sudin, 75, atau lebih dikenali sebagai Pak Kulup.

Pak Kulup memberi reaksi itu selepas gambarnya pulang mencari ikan di laut yang dimuat naik di laman sosial oleh seorang lelaki mendapat perhatian netizen yang rata-rata melahirkan simpati serta kagum kudrat warga emas itu masih ke laut demi mencari rezeki halal.

Kisah itu juga menyingkap kehidupan warga emas itu bersama isteri, Noraini Yunus, 58, yang hidup dalam serba kekurangan dan bergantung dengan hasil tangkapan ikan.

Selain itu, warga emas itu turut menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kelangsungan hidup.

Menurut Pak Kulup, sejak muda ketika menetap di Bagan Datuk dia sudah ke laut dan menjadi nelayan dengan bekerja di bot milik majikan seperti bot pukat tunda dan pukat ikan bilis.

Katanya, sebelum ini dia juga selalu menyelam untuk mencari siput dan aktiviti itu memberi kesan kepada gegendang telinganya yang menjejaskan pendengarannya sejak empat tahun lalu.

“Saya buat pelbagai kerja dan keluar ke laut ini sudah lebih 10 tahun dengan bot sendiri dan sehingga usia ini saya sudah tidak mampu lagi nak buat kerja lain selain nelayan.

“Alhamdulillah setakat ini saya tiada penyakit kronik, badan rasa kuat lagi cuma telinga tak dengar, mata agak kabur dan sakit lutut saja tetapi saya tetap ke laut kerana mahu mencari ikan untuk kelangsungan hidup selain bantuan kebajikan,” katanya yang berasal dari Rungkup, Bagan Datuk.

Artikel Berkaitan   Didakwa Langgar Undang-Undang, Poligami Luar Kebenaran, Da'i Farhan Boleh Dipenjara Tidak Lebih 6 Bulan

Pak Kulup dibantu isterinya ketika ditemubual di rumah mereka di Kampung Sungai Limau, Lekir hari ini.

Katanya, gambar yang dirakam lelaki itu diambil Rabu lalu ketika dia pulang awal dari laut iaitu 11 pagi kerana ribut dan hanya memperolehi sekilogram ikan bolos.

“Saya ke laut dari 7 pagi hingga 2 petang namun bergantung kepada keadaan laut juga.

“Saya mengail ikan bolos, gelama dan duri tetapi biasanya hasil tangkapan tidak menentu dan paling banyak dapat lima kilogram (kg), malah kadang-kadang tiada langsung,” katanya yang mendapat anggaran pendapatan RM30 sehari.

Pak Kulup berkata, dia yang ada 11 anak hasil perkahwinan pertama tidak mahu bergantung dengan mereka kerana semua ada tanggungan serta masalah sendiri dan biarpun dilarang anak dia tetap mahu ke laut mencari ikan.