“Kami Berpisah Secara Baik Dan Tidak Timbul Isu Orang Ketiga” Zahid Bekas Peserta Akademi Fantasia Sah Bercerai

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Zahid Baharuddin mengesahkan dia sudah bercerai dengan isterinya, Sarah Julifa Yusof pada 18 Julai lalu.

Zahid, 38, yang pernah menjuarai program realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2) memberitahu, keputusan tersebut dibuat selepas setahun mempertimbangkannya dengan bekas isteri.

“Saya sebenarnya tidak mahu membesarkan punca atau isu tentang perceraiaan ini kerana terlalu peribadi buat saya dan bekas isteri.

“Kami berpisah secara baik dan tidak timbul isu orang ketiga atau sebagainya,” jelasnya menerusi rancangan Melodi yang bersiaran pada tengah hari Ahad sebentar tadi.

Tambah Zahid, dia sebenarnya turut berasa serba salah apabila keputusan untuk bercerai itu diambil beberapa hari sebelum ulang tahun kelahiran ke-31 Sarah.

“Kami sudah berbincang soal ini hampir setahun dan kebetulan kata sepakat dicapai beberapa hari sebelum hari lahir bekas isteri pada 21 Julai.

“Namun, saya tetap memberi ucapan yang baik-baik buat dia kerana Sarah seorang ibu yang baik untuk anak kami,” jelasnya lagi.

Zahid dan Sarah mendirikan rumah tangga pada tahun 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Zareef Nufael yang kini berusia lima tahun. – K! ONLINE