“Kami Dah Rasa Zaman Susah, Sebab Tu Kami Jual Makanan Harga RM1.70 Untuk 24 Jenis Makanan”

PENIAGA restoran ini memilih untuk menjual makanan dengan harga RM1.70 bagi membantu orang ramai menangani kos sara hidup yang tinggi.

Anis Mardhiyah Yaakob, 24, sanggup berniaga dengan untung yang sedikit lantaran pengalaman hidupnya yang susah sewaktu di zaman kanak-kanak.

Sebagai anak pemandu bas, dia akui sering berkongsi makanan dengan enam adik-beradiknya yang lain, selain jarang dapat menikmati makanan yang disukai.

“Sewaktu kecil dulu, kami tujuh beradik perlu kongsi makanan jika bapa saya membawa pulang makanan, nak dapat RM1 untuk beli aiskrim pun jarang.

“Jadi saya pasang niat untuk bantu orang ramai terutama yang mempunyai anak ramai supaya mereka dapat makan di luar dengan harga mampu dibayar.

“Mereka boleh pilih 24 menu makanan, pelbagai jenis air dan pencuci mulut seperti brownis aiskrim dan banana split dengan harga RM1.70 saja,” katanya yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik.

Antara makanan jualannya termasuk nasi ayam penyet, nasi ayam merah, nasi ikan sekor, bihun sup, tomyam, laksa, mi kari, kentang goreng dan pelbagai jenis air seperti sirap laici.

Menurutnya, sejak dibuka pada 8 Jun lalu, restorannya dinamakan Makan D’ Kafe di Jalan Kubang Lembu itu sentiasa dipenuhi pelanggan daripada pelbagai latar belakang.

Walaupun dijual pada harga murah, dia memastikan setiap hidangan sedap apatah lagi ia dimasak sendiri oleh ibunya, Habibon Hashim yang berusia 59 tahun.

“Niat saya juga untuk bersedekah jadi perlu berniaga dengan ikhlas. Puas saya apabila setiap pelanggan termasuk kanak-kanak dapat menghabiskan makanan mereka.

“Sebaik saja restoran mula beroperasi jam 12 tengah hari, lapan pekerja yang juga saudara-mara saya tak menang tangan melayan pelanggan,” katanya yang turut dibantu suaminya, Muhammad Firdaus Nasir, 25.

(Visited 2,481 times, 1 visits today)