“Kami Mahu Membuktikan Bahawa Ada Kaedah Lain Untuk Menyediakan Menu Menggunakan Serangga Sebagai Bahannya,”

SIEM REAP: Popiah semut, ulat sutera dan burger dengan nama Bug Mac – itulah yang menjadi tarikan di sebuah restoran tapas serangga yang pertama di Kemboja.

Setiap kali memulakan operasi, ruang pelanggan Bugs Cafe di Siem Reap itu akan dipenuhi warga tempatan dan para pelancong asing yang ‘berani’ untuk mencuba.

Chef Seiha Soeun akan mula beraksi dengan kuali panas di dapurnya, memasak cengkerik, belalang, tarantula dan kala jengking.

Di restorannya itu, selera tradisi pinggir jalan Kemboja yang lazimnya disediakan cara gorengan, diangkat ke satu aras lebih tinggi menjadi hidangan tapas, lapor agensi berita AFP.

Sentuhan kontemporari chef menghasilkan hidangan yang selayaknya ditawarkan di hotel. – Instagram @bugs_cafe_sr
“Kami menawarkan menu yang berbeza,” kata Seiha yang berkali-kali bereksperimen dengan kombinasi serangga untuk menghasilkan rasa yang ‘betul’.

“Kami mahu membuktikan bahawa ada kaedah lain untuk menyediakan menu menggunakan serangga sebagai bahannya,” ujar pengasas bersama berbangsa Perancis, Davy Blouzard.

Antara yang menarik perhatian pelanggan adalah krim kentang manis dengan larva lebah dan ulat sutera yang digandingkan dengan mangga, selain manisan kek keju cengkerik.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Agrikultur (FAO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangga dijadikan makanan bagi 2 bilion manusia di seluruh dunia.

Selain menjadi sumber protein yang murah, hidangan serangga mungkin menjadi jawapan kepada kebimbangan berkaitan impak alam sekitar dan krisis ladang ternakan.

Kumpulan pelancong asing ini teruja untuk mencuba pelbagai hidangan di Bugs Cafe. – Instagram @bugs_cafe_sr
Di Bugs Cafe, pelancong asing yang datang sejauh dari Britain, Poland dan Malaysia sering mencuba seleksi menu yang ditawarkan, meskipun adakalanya mereka memberikan reaksi aneh.

Artikel Berkaitan   [VIDEO] "Selalu Berdoa Menangis Nak Jumpa Ustaz, Saya Tak Pandai Islam Macam Ustaz” Kisah Mak Cik OKU Ini Buat Orang Menangis

Seorang bagpacker dari Britain, Joshua Bean, 23, yang ditemui di restoran itu berkata, dia sudah menyasarkan untuk mengunjungi Bugs Cafe sejurus terlihat iklan tentang tempat makan itu.

Dia yang tidak geli dengan rasa jus ulat sutera dan beberapa serangga lain yang disusun di pinggannya berkata: “Ini pastinya bukan sesuatu yang anda boleh dapatkan di tempat asal saya.”