“Kami Tak Nak Ulas Lanjut, Biarkan Pada Siasatan” Kanak-Kanak Perempuan Berusia 2 Tahun Yang Didera Selamat Dikebumikan

Jenazah kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun yang dipercayai didera penjaganya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serkam, Merlimau, di sini hari ini.

Jenazah kanak-kanak itu dituntut keluarga di Bilik Forensik Hospital Melaka kira-kira jam 9.50 pagi selepas selesai proses bedah siasat.

Sebelum itu, jenazah dibawa ke Masjid Jamek Serkam.

Pengebumian kira-kira jam 11 pagi itu turut dihadiri kira-kira 30 ahli keluarga terdekat ibu bapa kandung kanak-kanak itu.

Sementara itu, bapa angkat mangsa yang memelihara kanak-kanak itu enggan mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan tetapi menyerahkan kepada polis untuk siasatan.

“Maaf, mohon beri ruang kepada kami dan saya tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan. Lagi pun dia (penjaga) adalah saudara saya, biarlah polis yang siasat,” katanya.

Ahli keluarga menyiram air di pusara kanak-kanak malang itu yang selamat dikebumikan di di Tanah Perkuburan Islam Serkam di sini, hari ini.

Semalam Sinar Harian melaporkan mangsa meninggal dunia dipercayai didera fizikal dan seksual oleh sepasang suami isteri yang juga penjaganya di sebuah rumah di Kandang.

Kelmarin, kanak-kanak terbabit di bawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka setelah dipercayai tidak sedarkan diri dan pegawai perubatan ketika itu turut memberikan bantuan pernafasan (CPR).

Malangnya, bantuan CPR tidak berjaya dan mangsa disahkan meninggal dunia selain terdapat kesan parut di bahagian kepala dan paha.

Sumber polis berkata, kanak-kanak malang itu sebelum ini dibesarkan oleh ibu angkat yang juga ibu saudaranya dan tinggal di negeri ini setelah dia diserahkan ibu bapa kandungnya yang menetap di Klang.

Artikel Berkaitan   “Suami Baik, Kami Kahwin Dah 5 Tahun Tapi Tiada Anak, Saya Berhubung Dengan Bekas Tunang Dan Terlanjur, Saya Hamil Tak Tahu Anak Siapa”