“Kami Tawarkan Skuter Pada Sesiapa Yang Menangkap Individu Yang Menetak Mulut Anjing Sampai Terputus”

PERSATUAN Haiwan Malaysia menawarkan sebuah skuter kepada mereka yang menyalurkan maklumat lengkap mengenai individu yang menetak mulut seekor anjing sehingga putus.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, pihaknya difahamkan kejadian itu berlaku di Sabah.

Beliau berkata, pihaknya menggesa mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu untuk mengendalikan kes ini sehingga individu itu ditangkap.

“Kami mahu pelaku itu ditangkap, dituduh dan dijatuhkan mengikut enakmen kebajikan haiwan di Sabah.

“Kami di Semenanjung tidak boleh campur tangan berikutan Sabah dan Sarawak mempunyai enakmen negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan anjing itu kini di bawah jagaan sebuah pertubuhan haiwan di Sabah.

“Namun, difahamkan doktor yang merawat haiwan itu menasihati untuk mematikan anjing itu akibat kecederaan parah.

“Setakat ini, kami dimaklumkan ada yang memberitahu anjing itu ditetak selepas berkunjung ke rumah penduduk untuk meminta makanan.

“Kami difahamkan, pelaku itu mabuk dan membuat melakukan perkara itu sebagai hiburan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pelaku itu ditangkap dengan segera dan mendapat hukuman setimpal atas perbuatan dilakukan.

“Kejadian ini bukan saja zalim, malah, melanggar norma manusia. Tindakan itu tidak boleh dijangkau oleh kewarasan akal fikiran.

“Berikutan itu, kami menawarkan hadiah sebuah skuter bernilai RM9,500 kepada individu atau saksi kejadian yang memberi maklumat lengkap sehingga kes itu selesai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat berkenaan kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihaknya di talian 011-20901097 (WhatsApp sahaja).