“Kamu Tidak Boleh Mendidik Orang Yang Kelaparan,” Guru Turut Sama Tidak Datang Sekolah Bila Pelajar Sering Pengsan Ke Sekolah

Boca De Uchire (Venezuela): Krisis ekonomi yang melanda Venezuela menyebabkan ramai penduduknya kelaparan malah pelajar juga sering pengsan ketika di sekolah kerana tidak bersarapan atau makan malam.


Keadaan itu juga diburukkan lagi dengan kegagalan sistem pendidikan yang menyebabkan ramai pelajar termasuk guru tidak ke sekolah lagi.

“Kita berdoa untuk remaja di jalanan yang tidak dapat datang ke sekolah,” kata paderi Jorge Quintero ketika memimpin bacaan doa pada perhimpunan di Sekolah D’Aubeterre Lyceum.

Apabila majlis selama 15 minit itu tamat, lima pelajar pengsan dan dua daripada mereka terpaksa dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans.

Kejadian pelajar yang pengsan di sekolah sudah menjadi pemandangan biasa kerana terlalu ramai di antara mereka datang ke kelas dengan tidak bersarapan atau makan malam.

Di sekolah lain, pelajar hanya datang ke sekolah sekiranya ada makanan disediakan.

PELAJAR berada di dalam kelas mereka yang hampir kosong kerana ramai pelajar tidak hadir ke sekolah. – New York Times

“Kamu tidak boleh mendidik orang yang kelaparan,” kata seorang guru dan pemimpin kesatuan sekerja, Maira Marin.

Krisis ekonomi yang melanda sejak enam tahun lalu turut memberi kesan teruk kepada sistem pendidikan yang sebelum ini menjadi kebanggaan dan dianggap sebagai enjin negara yang kaya dengan minyak itu.

Sekolah di Venezuela termasuk di kawasan terpencil sebelum ini menjadi landasan kepada pelajarnya untuk masuk ke universiti terbaik dan peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Kini kebuluran antara masalah yang menyebabkan ramai pelajar tidak ke sekolah.

Jutaan rakyat negara itu turut berhijrah ke luar negara menyebabkan jumlah pelajar termasuk guru semakin berkurangan.