Kantoi Curi Durian Lelaki Dibelasah, Motosikal Dibakar Oleh Orang Kampung

GARA-GARA kantoi mencuri durian, seorang lelaki bukan sahaja dibelasah penduduk kampung, malah motosikal yang digunakan untuk mengangkut buah itu juga dibakar.

Kejadian berlaku sekitar pukul 6 pagi di sebuah dusun di Lubuk Batu, Marang, Terengganu.

Suspek bersama dua lagi rakannya dipercayai datang ke dusun itu secara bergilir-gilir bermula tengah malam.

Bagaimanapun, kegiatan mereka berjaya dihidu penduduk kampung yang membuat rondaan ekoran kejadian curi durian yang kerap berlaku di kawasan berkenaan kebelakangan ini.

SUSPEK diikat tangan selepas ditangkap penduduk kampung kerana dipercayai mencuri duria

Penduduk hanya berjaya menahan salah seorang daripada suspek pada jam 6 pagi apabila suspek kebetulan berada dalam kawasan kebun bersama seguni durian.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Lubuk Batu, Safuan Mamat, 22, berkata, suspek bersama dua lagi rakannya dipercayai memasuki kebun durian secara bergilir-gilir bermula tengah malam.

“Saya difahamkan suspek kemudian diikat dan dibelasah, tapi dalam keadaan kelam-kabut berjaya melarikan diri. Suspek dan dua lagi rakannya itu juga dipercayai tinggal di kampung berdekatan.

“Kita mengetahui kegiatan mereka sudah berlanjutan sejak durian mula luruh, tapi pemilik dusun tidak berani mengambil tindakan kerana sebelum ini mereka sering dilihat berada di luar kawasan kebun,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sementara MPPK pula akan menggiatkan rondaan di kawasan kebun durian.

Artikel Berkaitan   Lelaki Ini Diserang Sakit Jantung Secara Tiba-Tiba Apabila Mahu Mengeluarkan Ular Daripada Kereta