Kantoi Memandu Dalam Mabuk, Wanita Ini Dijatuhi Hukuman RM1000

PADAH memandu dalam keadaan mabuk, seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuching, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, pertuduhan ke atas wanita berusia 28 tahun itu dibuat Majistret Zaitun Anuar.

Menurutnya, tertuduh ditahan dalam Ops Mabuk dan ujian hembusan nafas dijalankan ke atasnya adalah positif.

“Hasil keputusan ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh melebihi daripada had yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Alexson berkata, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Katanya, tertuduh membayar denda RM1,000 yang dikenakan ke atasnya.