Kantoi Sebuah Restoran Menjual Daging Anjing Kepada Masyarakat Umum

NILAI – Sebuah restoran di Kampung Baru, Broga dekat sini dikesan menjalankan aktiviti menjual daging anjing kepada pelanggannya sebagai makanan.

Sumber polis berkata, kegiatan restoran itu dikesan selepas polis melakukan pemeriksaan keatas premis tersebut sejurus menerima aduan orang awam malam kelmarin.

Menurut sumber polis, pemilik restoran yang memiliki lesen menjual makanan eksotik itu mendakwa daging anjing itu dimakan untuk mengubati penyakit asma.

“Pemilik restoran itu mendakwa dia tidak menjual daging anjing secara terbuka kepada pelanggan sebaliknya berdasarkan tempahan.

“Daging anjing dalam bentuk sejuk beku itu diperoleh daripada pembekal di luar daerah Nilai.

“Polis sedang menyiasat siapa pembekal daging anjing tersebut kerana pemilik restoran itu tidak mahu mendedahkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sumber polis memberitahu, anggota polis yang melakukan pemeriksaan di restoran itu menemui beberapa ketul daging dipercayai daging anjing di premis berkenaan.

Kata sumber, polis tidak boleh mengambil tindakan kerana perkara itu dibawah bidang kuasa pihak lain, namun menasihatkan pemilik restoran tidak lagi menjual daging anjing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Mantin. Pengadu mendakwa dia ke restoran itu dan mendapati premis itu menyediakan daging anjing.

“Pemeriksaan telah dilakukan oleh pihak polis dan hasil siasatan akan disalurkan kepada jabatan berkaitan,” katanya.

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan,Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi menjelaskan, restoran itu memiliki lesen menjual makanan eksotik, tetapi daging anjing tidak termasuk dalam senarai dibenarkan. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   “Dia Nak Selamatkan Kawan Tapi Dia Pula Yang M4ti Lemas, Saya Terkilan Sebab…..”