Kapten Feri Terkejut Jumpa Bot Berpusing, Ada Mayat Warga Asing Kulit Putih Timbul

MAYAT lelaki warga Australia ditemukan terapung dan tersangkut pada bot berhampiran laluan keluar masuk feri di Terminal Feri Langkawi, Kuah, Langkawi, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan penemuan mayat David John, 81, pada 11.20 malam tadi.

“Terdahulu, Kapten Feri Mohamad Elvin Tieng Abdullah yang membawa penumpang dari Terminal Feri Kuala Perlis ke Terminal Feri Langkawi melihat sebuah bot dalam keadaan terlangkup di lokasi terbabit.

“Apabila feri menghampiri jeti, bot itu telah berpusing sebelum mayat itu timbul. Anggota bomba dipanggil dan mengeluarkan mayat sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, bedah siasat akan dilakukan pagi ini di hospital terbabit.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Artikel Berkaitan   “Saya Beritahu Saya Akan Ke Sana, Esok Akan Menjadi Permulaan “Bencana”” Doktor Kongsi Terpaksa Kerja Seorang Demi Negara