10 Perkara Saya Belajar Tentang Berniaga Telur
“Anuar, lu ingat semua Cina meniaga untung saja kah, kami pun ada rugi maa, jatuh banyak kali juga maaa,” pesan mentor Tuan Kasih Anuar kepada beliau.
Lohong hitam membawa maksud kepercayaan yang dibina secara beperingkat, ianya memakan masa dan komitmen. Tahap demi tahap. Kesabaran akan terbentuk pada tahap ini.
Dari pemahaman konsep ini, maka Tuan Kasih Anuar telah membuat perkongsian pengalaman beliau hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan yang tidak ramai ambil kisah, tidak popular, dipandang sinis oleh segelintir masyarakat, untung sen-sen.
‘Seminar Lohong Hitam’ telah berlangsung pada 6 November 2016 lepas di Shah Alam.
“Jika tuan puan perasan, pembukaan pasaraya di beberapa kawasan menunjukkan peningkatan yang agak ketara, kenapa? Pasaraya membekalkan produk keperluan, produk yang orang ramai sentiasa perlukan tidak kira ekonomi teruk macam mana sekalipun,” tegas beliau.
Ini di antara perkongsian beliau tentang bisnes telur yang pernah beliau jalankan, sehingga sekarang! Untung sen-sen tetapi berterusan dan stabil.
Bisnes telur tidak ramai yang t4hu. Tetapi ianya sangat menarik apabila difahami.
1. Modal permulaan dan waktu sesuai untuk bermula.
Tuan Kasih memulakan bisnes telur di Ipoh. Pada asalnya beliau mengambil satu saiz sahaja daripada peniaga buah yang menjual telur di musim borong. Kemudian beliau mulakan dengan menjual sebanyak 200 tray sehari.
Belian ditingkatkan dengan saiz lain perlahan-lahan dan ambil stok daripada pemborong lama. Setelah kepercayaan terbina, pemborong tersebut telah memperkenalkan beliau dengan pemilik ladang.
2. Kenapa telur?
Apabila ditanya kenapa memilih telur? Antara sebab-sebabnya adalah telur produk yang bercakap sendiri, tidak perlu diperkenalkan lagi, dapat menjimatkan masa dan emosi untuk mendidik pelanggan.
Margin keuntungan memang kecil, sen-sen, tet4pi ini permainan ‘volume dan sustainable’. Pusingannya pun laju! Jadi beliau tidak terlalu risau. Makanan yang semua orang makan!
Jangka hayat ketahanan telur tidak terlalu singkat, bak kata beliau sederhana.
3. Sasaran pelanggan.
Antara beberapa lokasi yang sesuai untuk menjual atau membekalkan telur adalah seperti di gerai, kantin, pengusaha produk, kedai runcit , pasar dan lain-lain.
Tuan Kasih suka berurusan dengan makcik-makcik, beliau sering mendapat ‘free marketing, mouth to mouth’ kena dengan sifat telur, ‘riuh sekampung’. Jadi beliau hanya berikan servis yang terbaik supaya servisnya itu menjadi buah mulut makcik-makcik dan ini peluang terbaik untuk beliau meluaskan lagi pasaran telurnya.
4. Margin keuntungan menjual telur.
Jumlah kasar, untuk margin keuntungan menjual telur bermula dari satu sen sehingga 15 sen sebiji. Ini bergantung siapa sasaran pelanggan kita dan dengan siapa kita ambil telur itu.
Jumlah 15 sen
Pengeluar – 7-9 sen
Pembekal – 1 sen
Pemborong – 2 sen
Pengedar – 2-4 sen
Peruncit – 3-5 sen
Untuk lebih terperinci boleh rujuk dengan Tuan Kasih.
5. Peringkat sebelum berjumpa pembekal.
Nasihat Tuan Kasih, sekiranya baru bermula, dapatkan dari pengedar. Mulakan dengan kuantiti yang kecil tetapi berterusan. Sedikit demi sedikit tambah kapasiti tempahan.
Apabila kita telah yakin dengan kapasiti yang kita boleh beri, tunjuk komitmen dengan membuat tempahan yang tetap.
Contoh, setiap minggu, tempah 100 papan. Ini salah satu cara untuk mendapatkan kepercayaan pengedar sebelum beliau boleh memberi terus contact pengeluar. Mereka ada persatuan mereka sendiri! Jadi, berhati-hati jika mahu sailang!
Ini hanyalah pemahaman saya secara conceptual. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, bolehlah bertanya terus kepada Tuan Kasih Anuar. Atau berjumpa beliau terus pada 11 Disember 2016 ini di Shah Alam.
6. Cabaran dalam bisnes telur serta langkah mengatasi.
Kebiasaannya, apabila kita sebagai pengedar baru, hampir majoriti bakal prospek sudahpun mempunyai pembekal sedia ada. Ini cabaran terbesar buat pengedar telur yang baru.
Ada ketikanya bakal prospek agak skeptikal dan kurang percaya dengan pengedar baru terutamanya dari segi kapasiti pembekalan, apakah mereka boleh penuhi permintaan jika mendapat tempahan mengejut secara mengejut.
Ini normal, jangan hairan jika mereka yang baru bermula mendapat amaran dari pemain-pemain lama. Berhati-hati sebelum menerjah.
7. Kenderaan yang sesuai untuk bisnes telur.
Sebaiknya boleh memuatkan sehingga 200 papan telur. Ini supaya kos yang dilaburkan berbaloi dengan margin yang bakal diperolehi.
Pada peringkat awal Tuan Kasih menggunakan kereta Wira dan Exora. Sekarang, Alhamdulillah, sudah ada van. Stok yang banyak dihantar terus dengan lori dari ladang.
8. Jangka hayat telur.
Dengan suhu bilik, telur yang disimpan boleh bertahan sehingga 21 hari. Manakala di dalam chiller boleh bertahan sehingga 2 bulan.
9. Bagaimana mahu mengembangkan bisnes telur supaya boleh bertahan lama di pasaran?
Ini asas, bina kepercayaan dengan semua pihak. Pembekal dan pelanggan, jaga kepercayaan mereka pada kita dengan baik.
Apabila kepercayaan telah terbina, nama akan datang dengan sendirinya, nama orang yang dipercayai. Pastikan komitmen yang diberikan dipenuhi, ini dapat meningkatkan lagi tahap disiplin kita.
Kajian pasaran adalah perkara wajib yang perlu dibuat dan difahami. Ini untuk kebaikan jangka masa panjang.
10. Nasihat kepada mereka yang berminat untuk memulakan bisnes telur.
Jaga servis, penuhi komitmen yang diberi, jaga mulut dan jaga hati. Ini perkara dalaman yang paling asas!
PENULIS, FIRDAUS YASIN BERSAMA KASIH ANUAR.
Sumber Asal: Thevocket.com