Kegiatan Mencurigakan Pemuda 20an Di Daerah Ini Akhirnya Tumpas Apabila Beliau Menjadi Pembekal Besar Air Ketum

DUNGUN – Kegiatan seorang pemuda yang rancak menjual air ketum untuk pasaran daerah ini berjaya dipatahkan polis yang memberkasnya di sebuah rumah di Jalan Paka-Dungun dekat sini hari ini.

Dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah malam itu, sebanyak 100 kilogram (kg) daun ketum yang disimpan di dalam 15 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki milik suspek telah berjaya dirampas.

Suspek berusia 20 tahun dan merupakan penganggur dipercayai menerima bekalan 200 kg daun ketum daripada pembekal di Perak pada setiap minggu untuk diproses sebagai air ketum bagi pasaran daerah ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun telah menemui bungkusan mengandungi daun ketum tersebut di bahagian ruang tamu premis terlibat.

“Sebanyak 32 bungkusan kecil mengandungi cecair coklat kehijauan dipercayai air ketum dan 45 plastik berisi cecair kehitaman dipercayai dadah jenis codein turut dirampas.

“Selain itu, polis turut berjaya merampas alatan penimbang, periuk, dapur gas, penapis, tong gas, tong berwarna hijau dan plastik disyaki peralatan untuk memproses dan membungkus air ketum berkenaan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Kekadang Nampak Orang Tu Biasa Sahaja, Tapi Dia Bahagia, Kita Nak Kejar Kemewahan Tapi Banyak Kecewa, Rupanya Ini Sebabnya