Kehadiran Sekumpulan Biri-Biri Yang “Melancong” Ke Paris Mengejutkan Ramai Pelancong Di Sana

PARIS – Sekawan biri-biri melakukan lawatan sejauh 140 kilometer di sekitar Paris sambil meragut rumput di lokasi monumen bersejarah dan kawasan perumahan sebelum menamatkan perjalanan selama 12 hari di tebing Sungai Seine.


Lawatan itu bermula di kawasan pinggir Paris, Seine-Saint-Denis pada Julai lepas dan berakhir kelmarin dengan kawanan 25 ekor biri-biri itu berada di tebing kiri Sungai Seine dekat taman Trocadero, pusat bandar Paris.

Dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan peladang Urban Shepherds yang berpangkalan di Aubervilliers, utara Paris, lawatan unik itu bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai tentang manfaat penternakan bandar.

“Apa yang penting adalah menyedarkan orang ramai bahawa aktiviti penternakan biri-biri boleh dilakukan di kawasan bandar,” kata pengasas bersama Urban Sherpherd, Julie-Lou kepada agensi berita AFP pada permulaan lawatan tersebut.

Kehadiran haiwan ternakan itu mendapat perhatian ramai warga kota Paris.

Sebahagian mereka berhenti seketika untuk merakam gambar dan sebilangan pemandu turut mengembek sebagai tanda sokongan kepada kempen tersebut.

Kempen itu turut dilancarkan di beberapa buah bandar utama Perancis lain seperti Lyon, Marseille dan Bruxelles. – AFP