“Kehamilannya Luar Biasa!” Wanita Ini Biarpun Berumur 73 Tahun Berjaya Melahirkan Anak Kembar

Seorang wanita berumur 73 tahun di negeri Andhra Pradesh, selatan India selamat melahirkan sepasang bayi kembar perempuan kelmarin, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).


“Ibu dan kedua-dua bayinya berada dalam keadaan sihat,” kata pakar yang merawat wanita berkenaan, Dr. Umar Sankar kepada BBC.

Wanita itu, Mangayamma Yaramati berkata, dia dan suaminya yang berusia 82 tahun sentiasa dambakan anak. Bagaimanapun, Mangayamma gagal hamil sehinggalah dia menjalani rawatan persenyawaan in-vitro IVF.

“Kami sungguh gembira,” kata suaminya, Sitarama Rajarao. Menurut Sitarama, isterinya hamil selepas dua bulan menjalani rawatan IVF.

“Kami sudah banyak kali mencuba dan menemui berbilang doktor dan ini adalah detik paling gembira dalam hidup saya,” kata Mangayamma.

Wanita itu menambah, dia berasa dipinggirkan oleh masyarakat setempat dan kerap kali tidak diundang dalam majlis sosial kerana tidak berstatus ibu.

“Mereka menggelar saya wanita mandul,” katanya.

Bagaimanapun, sehari selepas bayi kembar itu dilahirkan, suaminya diserang strok dan masih dirawat di hospital.

Kedua-dua kembar perempuan itu lahir menerusi kaedah pembedahan. – Agensi