“Kenapa Polis Tak Pantau Aktiviti Tahanan Dalam Lokap, Kenapa Sampai Adik Saya Mati?”

“KENAPA polis tak pantau aktiviti tahanan dalam lokap, kenapa sampai adik saya mati?” itu menjadi persoalan kepada Mohd Fadzli Zaidi selepas adiknya, Mohd Fadzrin, 29, ditemui mati dipercayai menggantung diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU), semalam.

Mohd Fadzli, 31, berkata sebagai abang, dia sangat mengenali adiknya yang bekerja sebagai penggali kubur itu dan mustahil dia akan menggantung diri.

Katanya, arwah Mohd Fadzrin yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Ajam pada 5 petang semalam sebelum itu ditahan di Kampung Perlis mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 7.30 malam Rabu lalu.

“Pada malam sebelum dia diberkas polis, saya ada bercakap dengannya yang ketika itu baru sahaja pulang ke rumah selepas menghantar tunangnya.

“Saya sempat berbual dengannya dan ketika itu dia sedang bersiap untuk ke rumah rakannya,” katanya ketika ditemui di Butterworth, hari ini.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, arwah diberkas sepasukan polis di rumah rakannya kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 20 gram.

“Dia dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Khamis bagi permohonan reman dan sempat berpesan kepada saya supaya datang semula pada Rabu ini untuk proses jaminan.

“Namun, pada 4 pagi semalam, saya dihubungi pegawai penyiasat kes memaklumkan adik ditemui maut kerana gantung diri,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut dan tidak percaya mengenai berita diterima itu kerana sebelum itu adiknya dilihat berada dalam keadaan sihat dan mereka sempat bercakap.

Katanya, polis memaklumkan adiknya membunuh diri dengan cara mengikat leher dengan baju sebelum digantung pada jeriji besi tingkap lokap.

“Saya terkejut bagaimana dia boleh bertindak sedemikian kerana dia bukan seorang yang mahu nyawanya berakhir sebegitu, bahkan adik akan berkahwin serentak dengan saya tahun depan.

Artikel Berkaitan   Akibat Terlalu Banyak Gelak, Wanita Ini Sukar Menutup Mulutnya, Rupanya Rahang Terkehel

“Apa yang polis lakukan kepadanya dan apa yang mereka buat ketika itu sehingga tidak menyedari tindakan dibuat adik itu?,” katanya.

Menurutnya, dia diminta untuk ke IPDSPU sebelum mayat adiknya itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Katanya, doktor mengesahkan punca kematian adiknya itu adalah akibat kecederaan di tengkuk akibat jerutan.

“Ayah, Zaidi Mohd Din, 56, dan ibu, Fazilah Othman, 50, tidak dapat menerima cara kematian adik dan mahu pihak berkenaan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.

“Adik saya diberkas dan ditahan di lokap polis, jadi mereka perlu bertanggungjawab memantau keadaan tahanan, bagaimana mereka boleh cuai sehingga dia ditemui dalam keadaan tidak masuk akal.

“Memang kami tidak berpuas hati dan mahu kes kematiannya disiasat segera,” katanya sambil memaklumkan bapanya membuat laporan di Balai Polis Sungai Dua untuk siasatan lanjut diadakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan kejadian seorang tahanan mati dalam lokap itu.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian daripada pelbagai sudut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan hasil bedah siasat diterima dan pemeriksaan pakar patalogi mendapati tiada elemen jenayah.

“Suspek ditangkap dan dimasukkan ke lokap IPDSPU pada 20 November dan ditahan reman pada 21 November selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Malah, dia mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah, “katanya.