“Kenapa Tiba-Tiba Mata Berhabuk Ni?” Kisah Wanita Terima Semula Kasut Waktu Kecilnya, Buat Rasa Hiba, Hebatnya Ibubapa

KUALA LUMPUR – Menerima sebuah hadiah yang mempunyai nilai sentimental daripada individu yang sangat rapat dan penting dalam hidup ketika majlis perkahwinan pastinya membuatkan hati menjadi sebak dan hiba.

Seperti perkongsian wanita ini, dia menerima hadiah sepasang kasut semasa dirinya masih kecil pemberian ibu bapanya.

Farah Syaza Mansor, 32, berkata, kisah itu berlaku pada Disember 2012 ketika majlis bertandang ke rumah mentua, namun memori itu masih segar dalam ingatan.

“Apabila mengenang kembali ketika saat membuka hadiah kasut berkenaan, saya terkedu, sedih dan hiba mengenangkan ibu ayah saya. Saya tahu, kasut berkenaan adalah milik saya ketika kecil dan saya langsung tidak menjangkakan saya akan menerima ‘hadiah’ kasut itu ketika majlis perkahwinan saya sendiri.

“Tidak terbendung air mata saya ketika itu dan untuk meluahkan kata-kata juga sangat payah tapi saya kuatkan juga untuk memberitahu yang lain (keluarga mentua) bahawa kasut itu adalah kepunyaan saya ketika masih kecil,” katanya kepada Sinar Harian.

Farah yang juga seorang usahawan barang pelamin dan ‘event’ – Rentalism_ memberitahu kata-kata bapanya turut tidak dapat dilupakan kerana ia memberi makna yang cukup mendalam.

“Dekat bawah kasut dalam kotak tu, ada satu surat. Antara tulisan ayah ialah, ‘Dari sekecil tapak kakimu anakku, ayah dan ibu mendidik mengasuh dan memanjakanmu. Kini ayah ibu serta adik-adik menyerahkan tanggungjawab kepada suamimu.’

“Apabila membaca surat tu, tulisan tangan yang amat saya kenali, semakin lemah dan sayu rasa hati mengenangkan kedua ibu bapa yang sangat saya sayangi,” katanya.

Menurut anak sulung daripada empat beradik ini, dia tidak menyangka perkongsian kisahnya itu tular dan menarik perhatian ramai.

Artikel Berkaitan   Pernah Diazankan Oleh P Ramlee, Melissa Saila Dedah Cerita Sebenar Dakwaaan P Ramlee Hidup Merempat

“Saya memang tak sangka ia tular tapi saya bersyukur kerana post ini menjentik hati pembaca untuk mengingati kedua ibu dan ayah mereka.

“Hubungan ibu dan ayah pastinya sangat rapat walau kami bukanlah keluarga yang sempurna, seperti keluarga dalam kisah dongeng, tapi saya tahu, kami saling menyayangi. Kasih dan sayang bukan sekadar perkataan yang dilafaz, tapi lebih kepada perbuatan,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial, kisah sepasang kasut dibalut dengan kertas A4 tanpa sebarang nama dijadikan hadiah perkahwinan seorang wanita hingga mencuri perhatian netizen.

Sejak ia dikongsikan, kisah tersebut telah mendapat lebih daripada 9,200 ulang kongsi dan 8,600 tanda suka dari netizen.

Farah juga sempat memberitahu, dia akan menurunkan kasut tersebut kepada zuriatnya jika diberikan rezeki kelak.