Kenyataan Natasha Hudson Membuatkan Orang Rasa Pelik, Betul Ke Dia Sudah Bercerai, Baru Kahwin Tahun Lepas

Status rumah tangga pelakon Natasha Hudson mula menjadi tanda tanya netizen selepas dia memuat naik satu kenyataan yang memberi bayangan bahawa perkahwinan yang dibina bermasalah menerusi ruangan Insta Story di Instagramnya semalam.


Spekulasi itu dikuatkan lagi apabila Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 37, difahamkan sudah memadam gambar suaminya, Noor Nashriq Sekarnor di laman sosial tersebut.

“Jangan buang masa dan tenaga anda untuk kekal dalam sesuatu (hubungan) yang tidak berbaloi. Ianya mudah. Teruskan hidup dan jangan hidup bergantung dengan apa yang orang akan katakan, kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku di sebaliknya. Ia kehidupan anda, dan bukan kehidupan mereka.

“Lari, dan keluar daripada situasi itu dan tinggalkan (Sebab saya pun sudah melakukannya) Dan kini, saya sangat gembira,” tulisnya.

Difahamkan, luahan tersebut ditulis pelakon filem Chermin itu sebagai menjawab soalan rakan wanitanya yang ramai bertanyakan mengenai tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berdepan dengan masalah suami curang.

Natasha mendirikan rumah tangga dengan usahawan dari Kelantan, Noor Nashriq, pada Disember tahun lalu. Ia merupakan perkahwinan keempatnya.

Terdahulu, pada Oktober, Natasha mengejutkan ramai pihak apabila mengakui sudah bercerai dengan bekas suaminya, yang dikenali sebagai Carleed Khaza yang dinikahi pada 2012.

Hasil perkahwinan ketiganya itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Naeema Kalila dan Faatimah.

Sebelum itu, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih pada 2006 dan Datuk Shahrin Zahari pada 2007. – K! ONLINE