Kepala Dipenggal, Gading Hilang, Penguatkuasa Terkejut Jumpa Bangkai Gajah Angkara Manusia Durjana

PEKANBARU: Seekor gajah Sumatera ditemui mati, dalam keadaan kepala dipenggal dan gading dipotong dipercayai perbuatan pemburu haram, kata pegawai perlindungan hidupan liar Indonesia.


Bangkai haiwan terancam berusia 40 tahun itu dijumpai seorang pekerja ladang di wilayah Riau, dalam kepulauan Sumatera, Isnin lalu.

“Kepala gajah jantan itu dipotong dan sepasang gading yang sudah dipotong terdampar beberapa meter dari bangkai haiwan terbabit,” kata ketua agensi perlindungan tempatan, Suharyono dalam satu kenyataan.

Gajah berkenaan dipercayai sudah mati lebih seminggu lalu dan pihak berkuasa masih berusaha mengesan pihak yang bertanggungjawab.

“Kami mengesyaki haiwan itu diburu dan dibunuh, sebelum kepala serta gading dipotong,” katanya.