“Ketika Inilah, Saya Tergerak Hati Meminta Restunya Mengizinkan Saya Berkahwin Dengan Miera”

KUALA LUMPUR: Niat tulus usahawan Rosland Othman, 47, melamar aktres, Miera Leyana, 27, sebagai isterinya bukan disebabkan gelaran selebriti atau populariti, sebaliknya mahu berkongsi kehidupan dengannya.

Ini selepas melihat keadaan bapa Miera, Datuk Seri Kasmi Arshat yang baru sahaja menjalani pembedahan jantung, selain menghidap penyakit kanser prostat dan hempedu tahap empat.

Rosland berkata, kali pertama bertemu bapa Miera di hospital ketika menziarahinya.

“Apabila berbicara dengan bapa Miera, saya dapat rasakan kerisauan memikirkan anak-anak, termasuk Miera. Saya pula memang menyimpan perasaan tanpa Miera ketahui.

“Ketika inilah, saya tergerak hati meminta restunya mengizinkan saya berkahwin dengan Miera. Saya memberanikan diri dan percaya ini perkara baik yang harus dilakukan.

“Walaupun sedar mungkin ia masa tidak sesuai, tetapi saya mahu memenuhi harapan seorang bapa melihat anak berkahwin dan mempunyai seseorang yang dipercayai menjaganya,” katanya kepada BH Online.

Katanya, dia yakin restu keluarga amat penting dalam perkahwinan, selain mahu beroleh keberkatan hidup.

“Tiada guna bercinta bagai nak rak tanpa restu ibu bapa.

“Saya merasakan inilah masa yang sesuai melamar Miera disebabkan bapanya sedang sakit. Saya bukan hanya mahu mengenali Miera, malah keluarganya dengan lebih rapat selepas empat tahun berkawan dengannya.

“Namun, jujurnya, saya tak tahu Miera terima atau tidak. Saya tak beritahu pun Miera mahu minta restu bapa untuk mengahwininya. Bapa mentua juga merahsiakannya daripada pengetahuan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui selepas usai majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka, di sini, semalam.

Miera Leyana dan Rosland Othman tidak peduli dengan kutukan netizen, hidup dengan cara dan prinsip teguh. – Foto The Affiliates

Artikel Berkaitan   127 Rakyat Eropah Enggan Pulang Ke Negara Mereka Dan Menetap Sementara Di Pahang

Bagaimanapun, katanya, dia hanya melamar Miera secara berdepan ketika memenuhi undangan makan malam di kediamannya ketika bapanya keluar hospital pada Mac lalu.

“Saya datang makan malam, selain mahu menziarahi bapa mentua yang sudah keluar hospital dan semakin sembuh. Ketika itulah, saya melamar Miera di hadapan keluarganya.

“Miera memang terkejut dan seperti tidak percaya. Kami berkawan baik dan berkongsi banyak perkara mengenai urusan perniagaan, tidak langsung membabitkan soal hati.

“Malam itu pula Miera hanya pakai baju kelawar (ketawa),” katanya.

Mengulas cemuhan netizen terhadap Miera berikutan dakwaan bermadu dan hidup atas penderitaan wanita lain, Rosland berkata, dia dan isterinya tidak mampu menghentikan mulut netizen.

“Buat benda baik pun kena kutuk, apatah lagi benda jahat. Saya tak boleh nak hentikan mulut netizen nak bercakap apa sahaja mengenai kehidupan kami.

“Ikhlas tak ikhlas, tak perlulah dipertikaikan. Jadi, jalani kehidupan dengan cara masing-masing. Kita ada agama, pegangan dan paling penting, menghormati ibu bapa.

“Soal peribadi mahupun keluarga, saya tak perlu berkongsi dengan netizen. Lagipun, saya hidup bukan atas ehsan orang luar. Apapun orang cakap, ia tidak mendatangkan kesan kepada saya dan Miera,” katanya.

Majlis resepsi Miera dan Rosland bagaikan dalam kayangan itu turut dihadiri rakan selebriti Datuk Seri Shah Reza, Datuk Ziela Jalil, Emma Maembong, Nelydia Senrose, Liza Abdullah, Niena Baharun, Ayda Jebat, Nabil Maher, Riz Amin dan ramai lagi.

Ia diserikan dengan persembahan Liza Hanim, Azlan & The Typewriter, Hazama dan Noryn Aziz.

kredit astro awani