“Ketika Itu Saya Bergaduh Dengan Bazli. Kalau Tak Silap Sewaktu Anugerah Nasyid 2018. Sekarang Masa Yang Lebih Sesuai”

BEKAS anggota kumpulan nasyid UNIC, Najdi menafikan wujud masalah dalaman dan pergaduhan dengan ahli lain sehingga memaksa dirinya berundur dari kumpulan itu, semalam.

Najdi, 29, atau nama sebenarnya Wan Najdi Wan Mohd Noh berkata, keputusan sama pernah dibuat pada 2018.

“Dua tahun lalu memang pernah nak undur diri.  Ketika itu saya bergaduh dengan Bazli. Kalau tak silap sewaktu Anugerah Nasyid 2018. Sekarang masa yang lebih sesuai. Tidak ada sebarang masalah dalaman atau bergaduh pun. Saya keluar dengan cara baik,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Najdi yang menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan, apa yang membuatkan dia masih bertahan bersama kumpulan itu adalah komitmen kerja.

“Ketika itu masih banyak komitmen kerja yang tertangguh. Dalam masa sama, saya masih bergaji dan ada persembahan. Namun, apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat tidak boleh melakukan sebarang persembahan. Jadi, gaji pun tiada.

“Saya pula perlu memikirkan tanggungjawab terhadap isteri dan tiga anak yang semakin membesar. Tambahan pula isteri bekerja sebagai doktor dan bertugas pada waktu malam. Sepanjang PKP ini dia menjadi ‘frontliner’. Jadi, saya perlu utamakan kerjaya isteri,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan diri sendiri, Najdi berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada rezeki Allah SWT.

“Saya tiada perancangan lain pun. Memang nak memberi fokus pada keluarga saja. Soal menyanyi, kalau dalam industri masih mengizinkan selepas ini, Insya Allah. Sambung belajar pun masih dalam perancangan, cuma mungkin nak cuba kerjaya sementara dulu, tapi belum ada sebarang perancangan lagi. Semuanya berbalik pada rezeki,” katanya.

Terdahulu, Najdi mengumumkan berita pengundurannya daripada UNIC selepas empat tahun bersama kumpulan yang popular dengan lagu Ainul Mardiah itu.

Selain Najdi, kumpulan itu turut dianggotai Bazli Hazwan Che Osman dan Mohd Fakhrul Radhi Kamarudin.

Sejak ditubuhkan pada 2002, anggota UNIC bersilih ganti yang pernah dianggotai Fitri Haris, Hafiz Hamidun, Ahmad Fadzli Abd Aziz, Syed Mohd Azlan Syed Amiruddin, Wan Syarifuddin Wan Hassan dan Mohd Afendi Jahri.

kredit harian metro