“Ketika Itu Saya Sudah Mendengar Bunyi Enjin Agak Pelik.. Pemandu Kata Nak Keluar Sekejap Tetapi Dia Hilang” Penumpang Terpinga-Pinga Ditinggalkan Di R&R

“SAYA tak akan lupa kejadian ini sampai bila-bila,” kata ahli perniagaan, Azizul Ridhuan Wahid, 31, menceritakan kisah hitam dia bersama kira-kira 40 penumpang ditinggalkan pemandu bas persiaran selama lima jam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Bukit Mertajam, 25 Oktober lalu.

Menceritakan kejadian malang itu, Azizul Ridhuan berkata, dia bersama isteri, Norraihan Mohd Zani, 29, serta dua anak berusia tiga dan empat tahun membeli tiket berharga RM70 setiap seorang dari sebuah syarikat bas ekspres di Stesen Bas Kangar, Perlis untuk ke Kuantan, Pahang.

Menurutnya, mereka sekeluarga menaiki bas dari Perlis jam 8.45 malam dan tiba di Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah jam 11 malam untuk mengambil penumpang lain yang mahu ke Kuala Lumpur dan Kuantan.

“Setibanya di Shahab Perdana, kami dimaklumkan yang bas ekspres milik syarikat mengalami kerosakan serta terpaksa ditukar dengan bas baru.

“Selepas hampir sejam menunggu, semua penumpang diminta menaiki sebuah bas persiaran dan ketika itu saya sudah mendengar bunyi enjin agak pelik sebelum bas bertolak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pemandu bas berhenti di R&R Juru jam 1.30 pagi dan dia memberitahu kepada penumpang mahu keluar sebelum masuk semula serta mengambil jaket dan terus beredar.

“Ketika itu, kebanyakan penumpang sudah tertidur dan pemandu bas berkenaan terus menghilangkan diri begitu saja tanpa memberitahu sebab serta punca yang berlaku.

“Beberapa penumpang yang pelik selepas dua jam menunggu keluar mencari pemandu bas berkenaan di surau, tandas dan sekitar kawasan R&R itu namun gagal ditemui,” katanya.

Menurutnya, pada jam 4.30 pagi, penumpang mengambil keputusan memaklumkan kejadian kepada polis dan mereka yang tiba kemudian cuba menghubungi syarikat bas berkenaan namun gagal.

Artikel Berkaitan   Rasai Manfaat Asalkan Istiqomah Amalkan 2 Ayat Terakhir Surah At-Taubah

“Selepas hampir dua jam menunggu, saya akhirnya mengambil keputusan meminta bantuan seorang pemandu kereta ke stesen bas di Taiping, Perak dan mujur dia sudi menumpangkan kami sekeluarga bersama seorang lagi wanita ke sana.

“Saya dimaklumkan penumpang lain yang terkandas turut meminta pertolongan pemandu kereta yang ada di R&R itu, malah ada juga pemandu lain yang prihatin sudi menawarkan diri menumpangkan mereka,” katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun sedih kerana sebelum itu ada penumpang bas terbabit iaitu seorang lelaki yang agak berusia sanggup berjalan sejauh kira-kira 15 kilometer menuju ke Terminal Pengangkutan Penang Sentral, Butterworth.

“Saya tiba di Taiping jam 9.30 pagi dan membeli tiket menuju ke Kuala Lumpur yang bertolak jam 11 pagi sebelum sampai di sana empat jam kemudian.

“Dari Kuala Lumpur, saya terpaksa meminjam kereta mentua dan bertolak menuju ke Kuantan sebelum tiba jam 10.30 malam,” katanya.

Menurutnya, dia ke Kuantan kerana mempunyai urusan keluarga namun tidak menyangka yang perjalanan menuju ke sana terpaksa ditempuh selama 26 jam.

“Saya akan membuat laporan polis berhubung kejadian ini kerana tidak berpuashati dengan tindakan pemandu bas serta syarikat yang langsung tidak memaklumkan apa sebenarnya yang berlaku.

“Selain itu, kami juga mahu syarikat bas terbabit membayar ganti rugi kepada penumpang yang membeli tiket serta kos lain yang terpaksa dikeluarkan,” katanya.

Setakat ini, lima laporan berhubung kejadian itu sudah dibuat di Balai Polis Butterworth dan ejen menjual tiket di Shahab Perdana sudah membuat pembayaran ganti rugi kepada tujuh penumpang yang membuat tuntutan di kaunter.

Sementara itu, usaha menghubungi pejabat syarikat bas terbabit gagal kerana nombor telefon yang tertera di resit sudah ditamatkan perkhidmatan manakala telefon bimbit pihak pengurusan syarikat berkenaan pula tidak dijawab.

Artikel Berkaitan   Solat Selepas Haid Merupakan Kesilapan Wanita Yang Tidak Disedari