“Ko Dah Habis Benda Nak Rembat Ke Bang? Pemadam Api Pon Ko Nak Sapu?”

SABAK BERNAM – Gelagat seorang lelaki mencuri pemadam api di sebuah stesen minyak di Sungai Besar yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) tular di Facebook sejak semalam.

Rakaman berdurasi 0.28 saat itu menunjukkan seorang lelaki yang selesai mengisi minyak sebuah kereta membuka pintu belakang dan kemudiannya mencuri pemadam api berkenaan.

Lelaki terbabit kemudiannya membuka pintu hadapan kereta dan memandu kenderaan terbabit.

Laman Facebook menggunakan akaun nama ‘I Love Sungai Besar’ memuat naik status hantaran dan video CCTV itu meminta individu berkenaan tampil memulangkan semula pemadam api itu.

“Takkan pemadam api pun nak rembat bang? Buat malu, buat kerja mencuri ni,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kecurian pemadam api terbabit semalam.

Beliau berkata, kejadian jam 4.30 itu berlaku ketika suspek mengisi minyak di stesen minyak terbabit, kelmarin.

Beliau memberitahu, seorang pekerja stesen menyedari pemadam api itu hilang ketika masuk bertugas jam 9 pagi hari sama.

“Pekerja terbabit membuat pemeriksaan mendapati pemadam api tiada di salah satu pam minyak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman CCTV itu, suspek dipercayai menggunakan kereta jenis Toyota Avanza.

“Suspek memakai seluar pendek berwarna biru dan berbaju lengan pendek warna hitam kelabu serta berjambang,” katanya.

Beliau memberitahu, rakaman CCTV akan dihantar ke jabatan forensik untuk dianalisa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.