Konon Nak Isi Minyak Tapi Stesen Minyak Dah Tutup, Akhirnya Membongkar Remaja Ini Keluar Mencari Pil Kuda

SEORANG penganggur yang melarikan diri daripada polis memberi alasan mahu mengisi minyak sebaik ditahan di Kampung Tok Gebok, Ajil, di Kuala Berang, semalam.

Bagaimanapun, rahsia lelaki berusia 22 tahun itu terbongkar selepas dia akhirnya mengaku keluar untuk mencari pil kuda.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira 6 petang ketika sepasukan pegawai dan anggota melakukan rondaan di kawasan pentadbiran Balai Polis Ajil.

Menurutnya, anggota kemudian terserempak dengan suspek yang menunggang motosikal Yamaha 125Z dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota mengarahkan suspek untuk berhenti, namun tidak diendahkan apabila suspek memecut laju ke arah Kampung Tok Gebok.

“Suspek juga tidak mengendahkan amaran yang diberikan sebelum dia akhirnya berjaya ditahan di kawasan lapang kampung berkenaan.

“Hasil soal siasat suspek memaklumkan mahu mengisi minyak sedangkan ketika itu, stesen minyak sudah ditutup.

“Suspek juga sedar dia melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Adli berkata, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine akhirnya mengaku keluar dari rumahnya di Rumah Awam Kos Rendah Ajil untuk mencari pil kuda.

Katanya, suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas.

“Suspek turut disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020,” katanya.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Polis Tidak Tunggu Lama Dedahkan “Datuk Seri” Yang Lari Dari SPRM