Konon Nak Pinjam Bayi Untuk Mendukungnya, Lelaki Bernafsu Buas Ini Merogol Bayi Sampai Maut

New Delhi: Memilukan apabila bayi perempuan berusia empat bulan dipercayai dirogol hingga mati oleh sepupunya di Lucknow, di Uttar Pradesh, utara India.

Times of India melaporkan kejadian berlaku ketika keluarga bayi berkenaan menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Daudnager malam Ahad lalu.

Ketika kejadian, suspek berusia 30 tahun dipercayai menghampiri ibu mangsa dan meminta kebenaran untuk mendukung bayi berkenaan.

Bagaimanapun, keluarga mangsa mengesyaki sesuatu selepas tidak melihat kelibat suspek dan bayi itu, dua jam kemudian.

Disebabkan panik, keluarga dan penduduk kampung mula mencari kedua-duanya.

Akhirnya, mereka menemui mangsa tidak jauh daripada pelamin dalam keadaan tidak sedarkan diri di sisi suspek.

Ibu bapa mangsa kemudian bergegas membawa mangsa ke Poliklinik Vivekananda bagi mendapatkan bantuan.

Doktor kemudian merujuk bayi berkenaan ke pusat trauma sebuah pusat perubatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.

Susulan kejadian, bapa mangsa membuat laporan polis sebelum suspek ditahan untuk siasatan, Isnin lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Zon Utara, Sarvashresth Tripathi memberitahu media bahawa pihaknya menerima maklumat daripada doktor yang merawat mangsa pada pagi Isnin.

“Pengesahan sama ada mangsa dirogol oleh suspek atau sebaliknya hanya akan dibuat selepas mendapat laporan penuh bedah siasat,” katanya.

Artikel Berkaitan   Anak 2 Tahun Menggeletar Terkena Renjatan, Ibu Berulang Kali Kejutkan Anak Tetapi Anak Senyap Membisu