“Korang Ni Nak Jadi Apa Ni, Jangan Hancurkan Masa Depan, Tak Sayang Kat Mak Ayah Ke”

Hajat lima sekawan untuk ‘beraksi’ bersama basikal lajak masing-masing di atas Jambatan Raja Muda Nala atau Jambatan Ketiga Klang di sini petang tadi terbantut selepas kegiatan mereka itu berjaya dihidu pihak berkuasa.

Kelima-lima remaja berusia antara 13 hingga 16 tahun ditahan kira-kira pukul 6.36 petang oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Khairi Shafie berkata, pihaknya telah keluar membuat pemantauan aktiviti basikal lajak di Jalan Tanjong Syawal sehingga ke Jambatan Raja Muda Nala.

Beliau berkata, hasil pemantauan telah berjaya menahan lima remaja yang juga penunggang basikal lajak sedang berkumpul di tepi jalan berdekatan jambatan tersebut.

“Kesemua remaja ini sedang menunggu untuk menaiki jambatan tersebut bagi melakukan aksi berbahaya bersama basikal masing-masing.

“Anggota kemudiannya merampas basikal milik kelima-lima remaja terbabit untuk tindakan mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Mohd. Khairi berkata, kesemua penunggang basikal disaman mengikut Peraturan 42 (1) (a) LN166/59 dan Peraturan 035 (3) LN166/59.

“Kesemua remaja terbabit juga diberi nasihat dan kaunseling sebelum diserahkan kepada ibu bapa masing-masing,” ujarnya. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   “Ikan Kering Yang Dijemur Terlebih Dahulu Jadi Santapan Si Anjing Yang Berkeliaran, Kemudian Kita Makan”